"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Showing posts with label Tazkirah Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah Ramadhan. Show all posts

Monday, July 15, 2013

Solat Tarawih hanya di bulan Ramadhan sahaja

Bulan Ramadhan menjelang lagi. Kehadirannya dinantikan oleh seluruh makhluk yang beriman di muka bumi. Kedatangannya penuh dengan barakah dan rahmah. Kewujudannya membawa suatu perintah yang bersifat wajib iaitu tuntutan untuk berpuasa. Allah swt berfirman di dalam surah Al Baqarah ayat 183, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."

Ketibaannya juga ditemani dengan Ibadah Tarawih yang tiada di bulan - bulan yang lain. Suatu ibadah yang penuh keampunan dan rahmat dariNya. Suatu amalan yang bersifat sangat-sangat dituntut untuk dilaksanakannya (sunnah muakkadah). Al-Bukahri dan Muslim telah meriwayatkan suatu hadith yang maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w.  keluar pada waktu tengah malam pada bulan Ramadhan kemudian solat dimasjid. Beberapa orang mengikuti solat Baginda Rasulullah s.a.w.. Pada sebelah paginya mereka menceritakan perkara tersebut kepada teman-teman mereka. Maka pada malam hari berikutnya para sahabat yang berhimpun lebih ramai lagi. Pada malam yang kedua ini Nabi Muhammad s.a.w. keluar untuk mengerjakan solat dan para sahabat pun mengikuti solatnya. Pada sebelah paginya para sahabat menyebut-nyebut perkara itu, maka pada malam ketiga orang-orang yang berhimpun dimasjid bertambah ramai lagi.Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid mengerjakan solat pada malam ketiga itu dan para sahabat mengikutinya. Kemudian pada malam yang keempat, masjid tidak lagi muat untuk menampung orang ramai yang datang berhimpun tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid. Beberapa orang sahabat ada yang melaungkan azan "al-solah! al-solah!", tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar juga. Apabila masuk waktu subuh, barulah Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Setelah selesai solat Subuh, Nabi Muhammad s.a.w. menghadap para sahabat, membaca syahadat dan kemudian bersabda: 'Sesungguhnya aku bukannya tidak tahu bagaimana keadaan kamu malam tadi, akan tetapi aku khuatir kalau-kalau kamu menganggap bahawa hal ini (solat  malam Ramadhan) diwajibkan atas kamu, maka kamu tidak mampu mengerjakannya.'

Apa yang ingin saya sampaikan dalam entri kali ini ialah tentang semangat seorang lelaki tua yang telah berusia lebih daripada 70 tahun untuk beribadah di bulan Ramadhan. Sebenarnya situasi ini berlaku hasil pemerhatian saya di Masjid Nurul Ehsan yang terletak di Seberang Perak, Kedah. Seorang lelaki berusia yang pernah berjabat tangan saya untuk menikahkan saya pada tahun 2009 kini telah bersara daripada menjadi Imam Utama di masjid tersebut. Beliau ialah Ustaz Abd Ghani Ibrahim yang merupakan abang kepada Mantan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu Dato' Dr Ismail Ibrahim.

Beliau kini kelihatan agak uzur. Apabila ingin berjalan, beliau perlu dipimpin. Kalau tidak dipimpin, beliau berjalan sangat perlahan demi memastikan setiap langkahnya tersusun dan teratur. Namun, apa yang mengejutkan ialah beliau masih lagi mampu mengepalai solat tarawih biarpun usia dan kekuatannya sedemikian. Solat yang dipimpinnya pula sehinggalah ke rakaat yang ke-20. Amat memalukan dan menjelikkan sekiranya kita yang usia muda belia ini gagal menunaikan ibadah tarawih secara sempurna. Orang yang begitu 'lama' dan 'senior' ini walaupun kudratnya tidak berkemampuan tetapi hatinya masih kukuh berpegang kepada janji nabi yang pasti iaitu, "Sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharapkan pahalanya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." ( Hadith Al Bukhari dan Muslim).

Marilah kita sama-sama berdoa agar kita terus istiqamah menghidupkan bulan Ramadhan ini dengan solat Tarawih. Semoga kita tergolong dalam golongan muttaqin yang sentiasa mencari keampunan daripada Allah dan terhindar daripada golongan muflisin yang sentiasa mendapat penghinaan daripada malaikat seperti sabda nabi, “Celakalah orang yang menjumpai Ramadan lalu tidak diampuni” (Hadith riwayat Al Hakim) 

Share

Tuesday, July 9, 2013

Larangan Berpuasa Pada Hari-Hari Tertentu dan DUA HARI Terakhir Syaaban

"Hari syak" atau "hari yang diragukan" yang tersebut ialah hari yang ketiga puluh dan bulan Sya'ban yang tidak diketahui dengan jelas  
 
IBADAT PUASA Menurut hukum Islam, ada beberapa hari yang tertentu, yang dilarang mengerjakan puasa padanya, seperti berikut: 

Puasa Pada Kedua-dua Hari Raya Alim ulama' rahimahumullah., telah ijma' (sekata) tentang haramnya berpuasa pada kedua-dua hari raya iaitu hari raya "Aidilfitri" dan hari raya "Aidiladha" - sama ada puasa wajib atau puasa sunat. Dalilnya ialah hadith yang berikut:

35- عَنْ أَبِي عُبَيْدٍ قَالَ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ هَذَانِ يَوْمَانِ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صِيَامِهِمَا يَوْمُ فِطْرِكُمْ مِنْ صِيَامِكُمْ وَالْيَوْمُ الْآخَرُ تَأْكُلُونَ فِيهِ مِنْ نُسُكِكُمْ. (رواه البخاري) 35- 

Dari Abu `Ubayd, katanya: Aku telah hadir merayakan hari raya bersama-sama dengan Saiyidina `Umar bin al-Khattab r.a., lalu ia berkata: "Hari raya ini dan hari raya yang satu lagi, Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa padanya, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan hari raya Aidiladha untuk kamu makan dari daging korban kamu."(1) (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari) 
__________________________ 
1. Fath al-Bari (5:142). 

Ditegaskan lagi dalam sebuah hadith yang antara lain seperti berikut: 
36- أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْفِطْرِ وَيَوْمِ النَّحْرِ. (رواه مسلم) 36- " .. Bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa pada dua hari, iaitu: "Hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha."(1) (Hadith Sahih - Riwayat Muslim) Dalam sebuah hadith sahih yang lain, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, rahimahumallah., dari Ibn `Umar r.a., bahawa seorang lelaki telah datang bertanya kepada Ibn `Umar, katanya: "Saya telah bernazar untuk berpuasa sehari, kebetulan hari itu jatuhnya pada hari raya puasa atau pada hari raya haji, (bagaimana hukumnya)?" Ibu `Umar menjawab: أَمَرَ اللهُ بِوَفَاءِ النَّذَرِ وَنَهَي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ هَذَا الْيَوْمِ. "Allah Taala telah perintahkan supaya (orang yang bernazar) menyempurnakan nazarnya dan Rasulullah s.a.w. pula telah melarang (umatnya) daripada berpuasa pada hari yang tersebut."(2)
 _____________________________ 
1. Ittihaf Ahl al-Islam (250). 2. Kitab yang sama (251). 

Puasa Pada Hari-hari Tasyriq Hari-hari tasyriq (أيام التشريق) ialah tiga hari yang mengiringi hari raya haji iaitu hari yang kesebelas, kedua belas dan ketiga belas. Dalam masa inilah orang-orang yang mengerjakan ibadat haji - berhimpun di "Mina". Larangan berpuasa pada ketiga-tiga hari yang tersebut ada diterangkan dalam hadith yang berikut: 37- عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أُنَادِيَ أَيَّامَ مِنًى إِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ فَلَا صَوْمَ فِيهَا يَعْنِي أَيَّامَ التَّشْرِيقِ. (رواه الإمام أحمد) 37- Dari Sa'ad bin Abi Waqas r.a., katanya: "Aku telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. supaya menyeru semasa (orang ramai sedang berhimpun) di "Mina" bahawa masa yang tersebut ialah khusus (untuk kamu) menikmati makan minum (dengan gembira) dan tidak di tuntut berpuasa padanya, yakni hari-hari tasyriq yang termaklum."(1) (Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad)
 ____________________________ 
1. Nail al-Autar (4:277). 

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut: 38- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ حُذَافَةَ يَطُوفُ فِي مِنًى أَنْ لَا تَصُومُوا هَذِهِ الْأَيَّامَ فَإِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. (رواه الإمام أحمد) 38- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abdullah bin Huzafah menyeru di merata-rata tempat, di "Mina", katanya: "Janganlah kamu berpuasa pada (ketiga-tiga) hari tasyriq ini, kerana ditentukan untuk kamu menikmati makan minum (dengan gembira) dan untuk kamu mengingati Allah Azza wa Jalla (dengan takbir dan tahmid)".(1) (Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad) Larangan yang tersebut adalah larangan haram.
___________________________ 
1. Al-Fath al-Rabbani (10:144), hadith ini 'sanad'nya jayyid (elok). 


Puasa "Hari Syak": Hari "syak" juga dilarang berpuasa padanya. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut: 39- عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (رواه أبو داود والترمذي) 39- Dari `Amar bin Yasir r.a., katanya: "Barangsiapa berpuasa pada hari yang diragukan maka sesungguhnya ia telah menderhaka kepada (Rasul Allah) Aba al-Qasim s.a.w."(1) (Hadith Hasan Sahih - Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) "Hari syak" atau "hari yang diragukan" yang tersebut ialah hari yang ketiga puluh dan bulan Sya'ban yang tidak diketahui dengan jelas sama ada ia dan bulan Ramadhan atau dari bulan Sya'ban, kerana rukyah mengenainya (yang diperkatakan orang pada 29 Sya'ban) tidak sabit atau saksi yang melihatnya tidak diterima pengakuannya oleh pihak yang berkuasa disebabkan fasiknya dan sebagainya. Larangan yang tersebut haram hukumnya dan tidak sah puasanya.(2) Dalam pada itu ada pengecualian, iaitu kalau seorang pada hari itu mengerjakan puasa qadha atau puasa nazar, maka yang demikian tidak dilarang. Demikian juga kalau ia biasa mengerjakan puasa sunat yang tertentu seperti "puasa hari Isnin" dan kebetulan jatuhnya pada "hari syak" yang tersebut maka itu tidak dilarang. Yang dilarang ialah mengerjakan puasa yang tidak bersebab atau "Hari syak" itu diniatkan dari bulan Ramadhan. 
____________________________ 
1. Riyad al-Salihin (447) dan `Ibanat al-Ahkam (1:368) "Aba al-Qasim" (Bapa kepada al-Qasim) yang tersebut dalam hadith ini ialah gelaran Rasulullah s.a.w., kerana salah seorang dari putera-putera Baginda bernama "al-Qasim".
 2. Sabil Al-Muhtadin (2:142). 

Puasa hari Jumaat Dilarang juga berpuasa (puasa sunat) pada hari Jumaat jika tidak disertakan dengan berpuasa sehari sebelumnya iaitu hari Khamis atau sehari selepasnya, iaitu hari Sabtu. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut: 40- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ يَوْمُ عِيدٍ فَلَا تَجْعَلُوا يَوْمَ عِيدِكُمْ يَوْمَ صِيَامِكُمْ إِلَّا أَنْ تَصُومُوا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ. (رواه الإمام أحمد) 40- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebenarnya hari Jumaat ialah hari raya (mingguan), maka janganlah kamu jadikan hari raya kamu itu hari puasa kamu, kecuali kalau kamu berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."(1) (Riwayat Imam Ahmad) Larangan yang tersebut ialah larangan makruh. Di dalam hadith ini diterangkan dengan jelas sebab larangan itu: Bahawa hari Jumaat ialah hari raya mingguan dan lazimnya tidak dituntut berpuasa pada hari yang dimuliakan sebagai hari raya.

 _________________________ 
1. Al-Fath al-Rabbani (10:148). Hadith ini disahihkan oleh al-Hakim. 

Puasa hari Sabtu Makruh juga hukumnya berpuasa (puasa sunat) pada hari Sabtu jika tidak disertakan dengan berpuasa pada hari Ahad. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya, maksudnya: "Janganlah kamu berpuasa pada hari Sabtu, kecuali puasa yang diwajibkan atas kamu .." (1) Yakni kecuali puasa qadha dan puasa nazar. (Demikian juga halnya puasa sunat yang biasa dilakukan dan secara kebetulan jatuhnya pada hari Sabtu, maka ia juga dikecualikan dan larangan itu).(2)
 _______________________________ 
 1. Fiqh al-Sunnah (1:446), hadith ini Hadith Hasan, menurut Imam Tirmizi. 2. Kitab yang sama (1:446).

[Sumber Ehsan: http://www.islamgrid.gov.my/]
 
Share

Sunday, August 28, 2011

Pecutan Terakhir Ramadhan di SMK Tobiar dan Surau An Nur Bedong

Jazakallahu khairan Jaza' saya ucapakan kepada Izzat Afif As Saiburi dan rakan-rakan atas jemputan untuk berkongsi pandangan bersama para pelajar. Mudah-mudahan perkongsian tersebut menyemarakkan lagi semangat untuk meneruskan Ramadhan kali ini. Say nukilkan beberapa perkongsian tersebut.

Masa pantas berlalu
Masa pantas berlalu. Sedar atau tidak kita sudah melangkah kaki ke 10 malam terakhir bahkan hanya beberapa hari saja lagi yang berbaki untuk kita bersama Ramadhan yang mulia ini. Teringat sepotong hadis shahih yang sangat bermakna berkaitan masa dan tanda kiamat. Mafhum hadis tersebut, tidak akan berlaku kiamat sehinggalah satu tahun seperti sebulan, sebulan seperti sehari, sehari seperti sejam, sejam seperti percikan api. Hadis ini memberikan satu petanda bahawa semakin cepat masa berlalu maka semakin hampir kita dengan kiamat. Kiamat bakal berlaku apabila semua tanda-tanda besar menjelma. Peristiwa Kiamat merupakan satu peristiwa yang menggerunkan.

Di dalam surah Al Qariah, telah dijelaskan bahawa hari Kiamat sememangnya hari yang menggerunkan. Dalam surah tersebut menjelaskan kepada kita bahawa manusia begitu ramai berhimpun dan bersesak sepertimana kalkatu yang berterbangan dan boleh tersasar apabila terkena angin yang kencang. Begitu juga keadaanya pada gunung dan bukit yang kukuh lagi kuat. Apabila berlaku hari Kiamat, gunung dan bukit berterbangan seperti debu. Persoalannya, dengan masa yang pantas menjadi tanda semakin hampirnya kiamat, sudah bersediakah kita semua? Nah! Kalau belum bersedia, 10 malam terakhir dalam Ramadhan inilah waktu yang perlu kita lipatgandakan pahala.
Projek Mega Ramadhan Allah SWT

Saya terkesan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Sheikh Elias Zakaria, YDP Majlis Agama Islam P.Pinang dalam satu majlis berbuka puasa bersama Persatuan Alumni Maktab Mahmud (PAMM). Beliau menggariskan tiga aspek utama yang Allah sediakan dalam projek megaNya. Aspek-aspek ini juga saya kongsikan dalam pertemuan bersama para pelajar sekolah ini iaitu untuk bertaqwa (Tattaqun), untuk bersyukur (Tashkurun) dan untuk mendapat petunjuk (Yarsyudun). Saya huraikan mengikut gaya bahasa saya dan tambahan nota penting untuk memberikan lagi semangat untuk kita terus komited dengan Ramadhan 1432H dalam 10 malam yang terakhir ini.

Ijazah Taqwa sesudah Ramadhan
Keputusan Projek Mega Ramadhan menjanjikan kita menjadi hamba yang bertakwa. Ini adalah janji Allah yang benar seperti dalam ayat 183 Surah Baqarah. Apakah dimaksudkan dengan taqwa? Taqwa boleh didefinisikan sebagai melaksanakan apa yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Ini bermakna sebulan kita berpuasa dengan menahan nafsu dengan meninggalkan segala apa yang ditegahNya dan berlumba-lumba menggandakan pahala, maka kita dalam proses untuk mendapatkan ‘Ijazah Takwa’ sewaktu konvokesyen Universiti Ramadhan. Kisah sifat orang bertakwa dapat digambarkan melalui sifat baginda yang begitu tegas malaksanakan hukum Allah tanpa mengambil kira sesiapa walaupun anaknya. Sebab itu nabi pernah berkata di khalayak, “Kalaulah Fatimah mencuri, akanku potong tangannya.” Inilah sikap dan sifat orang yang Berjaya mendapat martabat taqwa. Malang sekali, hari ini taqwa kita kepada Allah hanya sekadar toku’a (tauhu dalam bahasa Kedah) yang hanya bersifat ‘hammasah’ (bersemangat) ketika melaksanakan ibadah dan bukan istiqamah. Ramadhan masih berbaki dua tiga hari dan masih punya harapan untuk memiliki taqwa.

Natijah Ramadhan hasilkan Orang Bersyukur
Dalam surah Baqarah ayat 185 dinyatakan dengan jelas bahawa proses Ramadhan juga dapat menjadikan kita orang yang bersyukur. Orang bersyukur bermaksud orang yang tahu mengenal budi dan jasa yang diberikan Allah swt. Hal ini kerana, nikmat yang Allah berikan sangat luas dan besar. Demikian juga dalam firmanNya yang mafhum, “Sesungguhnya sekiranya kamu ingin mengira nikmat Allah maka tidak terkira banyaknya.” Puasa mengajar erti kita bersyukur. Bayangkan dengan nikmat rezeki makanan, keamanan dan kegembiraan. Ada di kalangan mereka yang tidak punyai semua nikmat ini. Somalia adalah antara negara yang tidak punyai nikmat makanan yang besar. Tetapi kita di Malaysia masih lagi tidak bersyukur dengan nikmat makan. Maka tidak hairanlah apabila ada segelintir kita yang sanggup ke Bazar Ramadhan membeli juadah melampaui batas seakan-akan kita nak membalas dendam tidak makan selama seharian. Bersyukurkah dengan keadaan begini?!
Dalam hadis Abu Hurairah riwayat Bukhari, menceritakan tentang kisah tiga sahabat yang gagal mensyukuri nikmat Allah. Mereka telah diberikan nikmat dan dua orang telah ditarik semula kerana tidak bersyukur. Hanya seorang sahabat sahaja yang kekal dengan nikmat Allah kerana bersyukur. Ceritanya panjang cuma saya ringkaskan dalam entri ini. Persoalannya adakah kita mahu berdiri sebaris dengan mereka yang pernah nabi sabdakan ini?? Tepuk dada tanya iman.

Begitu juga dengan nikmat kekayaan. Yang menghairankan apabila masuk Ramadhan yang dijanjikan pahala berlipatganda masih ada tangan-tangan di kalangan kita yang enggan menderma dan bersedekah sebanyak yang mungkin. Kalau sebelum Ramadhan, kita derma untuk tabung masjid RM1 begitu juga halnya dengan bulan puasa (RM1). Kenapa kita tidak besarkan nilai derma tabung masjid kita? Dalam sebuah hadis riwayat Tirmidhi, nabi apabila masuk bulan Ramadhan, baginda menjadi seorang dermawan yang lebih banyak bersedekah berbanding orang lain. Kalaulah nabi masih hidup dan melihat sikap begini apa yang kita nak katakan pada nabi?? (Teringat klip-klip video Law Ka Na Bainana)

Petunjuk (Hidayah) Yang Didambakan
Setelah hampir sebulan kita mengharungi bulan yang penuh barakah ini, kita perlu mendoakan agar hidayah Allah itu sampai kepada kita sebelum menghembuskan nafas terakhir. Hidayah adalah petunjuk yang akan menyuluh jalan kita ke negeri abadi. Untuk melihat dunia yang jauh di mata kita, kita akan menggunakan teleskop. Untuk melihat akhirat yang jauh di mata kita tetapi dekat di hati kita, kita menggunakan hidayah. Atas dasar itu, Allah menyatakan dalam Surah Baqarah ayat 186 bahawa semoga kita mendapat hidayah. Hidayah ini akan kita perolehi kalau kita berterusan bermunajat di 10 malam terakhir Ramadhan secara konsisten dan istiqamah.

Kita gusar kalau Allah tidak kurniakan hidayah sepanjang kehidupan kita. Ingatlah! Hidayah membantu kita untuk jalan mudah ke syurga. Lihatlah betapa ramai orang yang bernama Muslim tetapi tidak tahu bersyukur, tidak tahu berakhlak Islam dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana mereka tidak dikurnia hidayah Allah swt. Amat malang sekali kalau tidak mendapat hidayah Allah. Tidak berguna kalau kita mempunyai pendidikan tinggi, mewah dengan harta benda tetapi kita mendapat hidayah. Sebab itu, orang-orang hebat dunia seperti Alaxender Graham Bell yang mencipta telefon, Thomas Alva Edison yang mencipta lampu dan sebagainya mati mereka masih lagi mati sebagai kafir. Kenapa terjadi begini?? Jawapannya mudah iaitu mereka tidak mendapat hidayah. Oleh itu, kita harus berlumba-lumba bermula hari ini untuk bermunajat kepada Allah agar diberikan hidayah biarpun Ramadhan berbaki dua hari. Kekalkan momentum ibadah anda!

Kematian Itu Pasti
Dalam perkongsian tersebut saya tegas juga bahawa walaupun Ramadhan semakin meninggalkan kita, jangan jadikan ia satu alasan untuk kita malas beribadah. Walaupun bacaan Quran kita sedikit teruskan membaca sehingga saat akhir Ramadhan walau tidak berjaya khatamnya. Allah melihat kepada kualiti kita dan bukan sekadar kuantiti. Selain itu, kalau selama ini kita masih tinggal tarawikh, pastikan 10 malam terakhir kita gempur habis-habisan dan jangan tinggalkannya. Hadis Aisyah ada menyebut bahawa apabila masuk 10 malam terakhir nabi akan mengetatkan kainnya dan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Malu kita kalau nabi yang maksud maksum sanggup berebut-rebut amal ibadah tapi kita masih lagi leka dan alpa.

Begitu juga halnya dengan tuntutan berdoa. Amat malang kalau kita bersahur di hujung malam tetapi tidak cuba untuk bangun menunaikan solat dan berdoa kepada Allah swt. Sepotong hadis riwayat Bukhari ada menyebut bahawa dua tempat dimakbulkan doa oleh Allah iaitu di hujung malam (sesudah sahur) dan selepas solat Fardhu. Ingat untuk banyakkan doa kerana Ramadhan semakin meninggalkan kita.


Akhirnya, kita perlu ingat bahawa kalau bukan Ramadhan ini kita bersungguh-sungguh mengejarnya apakah kita yakin akan bertemu lagi di Ramadhan akan datang? Baru-baru ini seorang rakan saya yang baru saya bersapa dengannya sesudah tarawikh sudah pergi bertemu Khalik. Kita perlu ingat bahawa mati adalah pasti. Cumanya kita tidak tahu 'tanggal keramat' tersebut. Sedarkah anda bahawa puluhan ribu mangsa yang dilanda Tsunami 2004 yang lalu di Indonesia, India, Thailand dan sebagainya tahu bahawa mereka akan mati pada hari tersebut? Tahukah ribuan mangsa 9/11 pada tahun 2001 yang lalu
bahawa mereka akan mati dihempap oleh menara WTC??? Mereka tidak tahu dan kita tidak tahu. 

Sejajar dengan itu, perlu diingat bahawa mati yang kita dambakan ialah mati orang beriman. Mati yang kita jauhkan ialah matinya kufur. Walaupun matinya orang beriman, sakitnya seoalah-olah 300 tikaman pisau. Itulah gambaran yang diberikan nabi. Bahkan Imam Ghazali merakamkan dalam Ihya Ulumuddin bahawa nabi Daud pernah menyatakan sakitnya mati seperti seekor kambing yang tengah meragut di padang rumput tiba-tiba datang orang melapah dagingnya ketika masih hidup dan meragut. Pastinya sakit bukan? Apatah lagi kalau mati dalam kekufuran. Nauzubillah! Oleh yang demikian, mari kita teruskan gear 5 dalam masa yang berbaki dalam Ramadhan. Ya Ramadhan! Kehadiranmu dinanti, pemergianmu ditangisi. 

Tidak dilupakan, jangan kita terus menjadi Hamba Ramadhan dan bukan Hamba Tuhan. Walaupun Ramadhan berlalu pergi, amalan kita masih ada lagi. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik tolak untuk kita berubah. Kekalkan bersama Angin Perubahan!

Share

Thursday, August 11, 2011

Siri II Ceramah Ramadhan Anjuran Unit Latihan Jabatan Pendaftar UUM

HARI INI (11 Ogos 2011)

Share

Tuesday, September 30, 2008

Tazkirah dan Majlis Berbuka di Surau An Nur, Puchong

[Sesungguhnya Al Quran itu diturunkan di bulan Ramadhan-Mafhum Al Quran]

Tinggal sehari sahaja saya perlu melangkah pulang ke bumi jelapang padi. Dengan harapan untuk tidak menghampakan perasaan pakteh (Dr Azhar) selaku pengerusi Surau An Nur., maka saya penuhi juga permintaannya agar dapat meluangkan masa untuk memberikan tazkirah. Alhamdullilah, dengan bertemankan Akmal Solihi (Najmuddin jual mahal, zukhairi ada kelas dan ramai lagi yang bagi alasan) maka kami berdua pergi dan terus ke surau untuk berbuka di sana. Subhanallah, banyak sungguh makanan yang disediakan. Mungkin ini pengalaman pertama buat akmal tapi seingat saya sudah 3 hingga 4 orang teman yang saya bawa ke sini.

[Dr Azhar dan sebahagian jemaah bertadaruss]

Malam itu, seperti yang dijanjikan saya terpaksa jadi imam Tarawikh dan sudah pasti saya muzakkirnya. Akmal pula ditugaskan untuk menjadi Imam Witir. Sesudah selesai tazkirah maka kami pun di’terjah’kan dengan moreh. Seterusnya, sesi Mari Mengaji iaitu tadarus. Maka saya pun bersama2 Akmal memeriahkan tadarus sehingga jam 12.30am sehingga berjaya khatam Al Quran.

Alhamdullilah, tugas saya dan akmal seleseai apabila berjaya mengimamkan solat Subuh berjemaah. Harapan besarnya ialah semoga langkahku selama ini ikhlas kerana-Mu Ya Allah

[It's my turn now...]

Tuesday, September 9, 2008

Dengan rasa rendah diri, saya ingin menjemput rakan2 yang berkelapangan untuk bersama dengan saya:

Tempat: Surau An Nur, Puchong
Hari: Sabtu & Ahad (setiap minggu)
Masa: 8.30pm-10.00pm (Tarawikh Bersama)
& 5.45am-7.00am (Subuh)
Program: Tazkirah Ramadhan
Muzakkir: Hafizbad

Semoga kita dapat ganjaran bersama dengan Perkongsian Bijak melalui slot - slot tazkirah yang dianjurkan oleh
Surau An Nur, Puchong.

"Di Awal Ramadhan Rahmat, Di Pertengahannya Maghfirah, Di Akhirnya Kebebasan dari Api Neraka"