"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts

Friday, November 7, 2008

Hafizbad dalam Dewan Masyarakat


Saya dengan rendah diri menjemput sahabat2 dan rakan2 semua untuk mendapatkan Dewan Masyarakat Edisi November 2008 kerana saya telah diberikan peluang berada dalam kolum Suara Orang Muda. Tajuk yang sempat saya nukilkan ialah Karenah Birokrasi Kampus.

Sekiranya anda mempunyai sebarang komen, idea, pandangan bolehlah disuarakan melalui blog ini. Semoga kita semua mendapat istifadah dan manfaat sebaiknya.

Thursday, October 23, 2008

KENYATAAN AKHBAR : Sokongan GPMS Terhadap ISA Dipersoalkan

Penulis terbaca satu tajuk yang membawa kebimbangan besar terhadap diri sendiri dan para pelajar. Tajuk yang tertera dalam akhbar Sinar Harian menggambarkan pendirian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang menyokong penguatkuasaan undang – undang ‘drakonian’ iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sungguh mengecewakan dan amat mendukacitakan apabila sebuah persatuan yang bernaung hampir di setiap universiti ini menyokong akta tahanan tanpa bicara ini.

Seharusnya persatuan pelajar seumpama itu memperjuangkan kebebasan mahasiswa bersuara bukannya menyokong akta yang menyekat dan menghimpit suara mahasiswa. Kita perlu jelas bahawa pandangan dan suara mahasiswa adalah untuk membantu pembangunan negara melalui pemikiran secara kritis dan kritikal. Ini bertepatan dengan pandangan ahli falsafah Karl Popper yang menyatakan isu – isu utama negara perlu kepada pemikiran rasional dan kritis. Melalui pemikiran ini maka segala kepincangan dalam institusi – institusi awam dapat didedahkan dan diberikan jalan penyelesaian. Tetapi dengan penguatkuasaan ISA maka pemikiran rasional dan kritis ini seakan dihapuskan dari terus subur dalam jiwa dan raga mahasiswa.

Hampir sebilangan besar tenaga akademik, pensyarah, pengamal undang – undang, hakim, badan bukan kerajaan serta gerakan pelajar sendiri menolak akta rimba ini. Namun perkara ini berlaku disebaliknya terhadap GPMS. Secara tidak langsung, masyarakat dan rakyat akan melihat GPMS sudah tidak lagi relevan untuk memperjuangkan isu pelajar kerana persatuan itu sendiri bersekongkol dengan akta yang tidak munasabah. Malahan, tindakan menyokong itu merupakan usaha menghapuskan kesuburan demokrasi kampus dan kuasa autonomi universiti.

Umum mengetahui bahawa akta ini punya sejarahnya tersendiri. Akta ini bertindak kejam apabila ia membelakangkan tuntutan Perlembagaan Persekutuan terutama melalui Artikel 5. Di dalam Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu ditahan maka seseorang itu harus diberitahu sebab – sebab penahananya dan dibenarkan berjumpa dengan peguamnya. Selain itu Artikel 5(4) juga menyebut bahawa sekiranya seseorang itu ditahan tanpa pembebasan maka dalam amsa 24 jam perlu dihadapkan ke mahkamah. Melalui peruntukan ini kita akan menyedari bahawa ISA tidak mengakui dan menuruti peruntukan perlembagaan persekutuan.

Malahan ia juga bertentangan dengan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) yang membariskan bahawa seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya. Tetapi melalui ISA seseorang itu terus dihukum salah apabila dikenakan tindakan tahanan selama enam puluh hari dan dengan kuasa Menteri Dalam Negeri boleh ditahan selama 2 tahun tanpa bicara.

Maka hujah bahawa ISA sebagai benteng terakhir untuk menangani rusuhan dan tunjuk perasaan adalah tidak relevan dan tidak masuk akal. Hal ini pernah diterangkan oleh Almarhum Tan Sri Harun Hashim, Mantan Hakim Mahkamah Tinggi dan Persuruhjaya SUHAKAM bahawa ISA bukanlah medium dan platform terbaik untuk menghalang demonstrasi. Beliau berpendapat bahawa tindakan provokasi dari polis menyebabkan rusuhan dan demonstrasi bertukar menjadi ganas. Contoh dibawakan beliau sangat mudah iaitu mengapa perarakan Thaipusam atau Wesak tidak menjadi ganas? Ini kerana ‘procession’ ini tidak diprovok oleh pihak polis. Maka masyarakat dan pihak polis perlu diberikan pendidikan yang sesuai dalam konteks ‘security control’ bagi menangani isu demonstrasi.


Oleh yang demikian, penulis melihat perlu ada perubahan pemikiran persatuan yang diterajui GPMS. Jangan kita mudah untuk bermadah dan berkata. Kalau negara kita kini masyarakatnya majmuk dan mampu hidup aman damai tidak seperti dulu dimana kita hidup dalam darurat akibat ancaman komunis. Maka undang – undang (ISA) pun perlu berubah disebabkan perubahan masyarakat kini. Harapan baru mula meniti agar GPMS terus relevan mendepani perubahan semasa dan bukan berada setapak kebelakang dan dimaki hamun oleh rakyat marhain.

Saturday, August 16, 2008

Kenyataan Akhbar : Mortar Board Ganti Songkok Di Konvo UIA 08

UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA KIKIS IDENTITI MELAYU

Pesta konvokesyen merupakan hari yang dinanti-nanti oleh bakal graduan. Hari itu boleh dikatakan hari bersejarah kerana bakal graduan akan dinobatkan sebagai ‘raja sehari’ dengan meraikan segala titik peluh mereka yang diperjudikan selama ini membuahkan hasil iaitu segulung ijazah. Sambutannya begitu meriah dan sesekali terpandang tiada bezanya antara sambutan di peringkat semua universiti. Namun hakikat itu dipandang meleset kerana situasi berbeza bakal berlaku di lembah Gombak.

Mungkin ramai yang terpinga – pinga apakah perkara yang bakal terjadi sehinggalah artikel ini ditulis. Pergolakan dan rasa tidak puas hati dikalangan bakal siswazah UIAM jelas terbayang tatkala pihak pentadbiran universiti mula memperkenalkan sistem pemakaian baru sempena majlis konvokesyen. Sistem pemakaian ini dikatakan bertukar apabila UIAM sedang menyambut Sambutan Jubli Perak yang ke-25 tahun dan dikatakan sebagai satu usaha ‘standardize’ system pemakaian majlis konvokesyen. Apa yang dipersoalkan tentang sistem pemakaian baru ini ialah songkok yang telah digunapakai selama lebih daripada 20 tahun ini dalam acara rasmi majlis konvokesyen bakal digantikan dengan topi ‘mortar board’.

Identiti UIAM yang terkenal dengan pemakaian ‘songkok’ ketika majlis konvokesyen jelas berbeza antara university – university perdana di Malaysia. University ini mempunyai jatidiri tersendiri sehingga ada antara university lain turut meniru pendekatan bersongkok ketika majlis konvokesyen. Umum mengetahui bahawa budaya bersongkok memang sinonim dan sebati dengan budaya melayu. Oleh yang demikian, usaha untuk menukar penggunaan songkok boleh dilihat sebagai usaha untuk mengikis budaya dan adat resam Melayu di Universiti.

Penulis berpandangan bahawa walaupun UIAM berstatus university antarabangsa namun kita mampu menterjemahkan budaya kita melalui pelajar antarabangsa dengan penggunaannya dalam majlis rasmi konvokesyen. Pelajar – pelajar ini juga bakal berbangga kerana songkok bukanlah budaya mereka dan budaya ini bakal dipertontonkan di Negara mereka. Bahkan kehebatan jelas terserlah kerana penggunaan songkok dalam majlis konvokesyen merupakan penghormatan tertinggi ke atas budaya melayu yang diterapkan dalam majlis konvokeseyen.

Oleh yang demikian, penulis berharap akan wujud satu desakan dan momentum daripada NGO Melayu dan pihak berwajib agar system pemakaian topi ‘mortar board’ ini dimansuhkan. Biarlah UIAM menjadi galang ganti dan benteng terakhir mempertahankan serta memberi penghormatan tertinggi budaya Melayu yang juga jelas merupakan budaya kebangsaan dalam masalah ini kerana rata – rata university tidak lagi mengamalkannya. Semoga pengiktirafan songkok dalam majlis rasmi acara konvokesyen diteruskan dan diperjuangkan.

Sekian, terima kasih.

Kiriman Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman
Mantan Timb. Presiden 1
Persatuan Mahasiswa Undang – Undang,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.