"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Friday, September 18, 2009

Tazkirah Ramadhan Surau An Nur

Surau An Nur yang terletak di Bandar Saujana Puchong telah menjemput saya untuk memberikan sedikit pengisian rohaniah sempena sepuluh malam yang terakhir. Tazkirah disampaikan ketika selesai solat Isyak dan sebelum menyempurnakan solat Tarawikh. Tajuk yang diberikan adalah bebas tetapi disyaratkan pihak penganjur untuk menyentuh sedikit isu – isu semasa agar masyarakat lebih terbuka dan bebas pemikiran mereka.

Antara beberapa agenda penting yang telah saya sentuh secara ringkas ialah tentang pesanan yang dibawa oleh para ulama’ dan hukama’ tentang ramadhan. Pesanan mereka:

Jadilah kamu sebagai orang yang menyembah Allah dan bukanlah orang yang menyembah Ramadhan.

Ramadhan adalah bulan mulia yang dilipat gandakan pahalanya oleh Allah. Ramadhan diberikan tafsiran oleh beberapa ulama’ secara harfiah.

Huruf Raa’
Huruf Raa’ bermaksud bulan yang penuh kerahmatan. Bulan ini akan diberikan ganjaran rahmat yang melimpah ruah. Allah tidak menjanjikan kerahmatan sebegitu banyak di bulan selain ramadhan. Antara rahmat yang Allah berikan ialah kelebihan Malam Lailatul Qadr yang disifatkan oleh Quran sebagai malam yang terbaik antara seribu bulan.

Huruf Mim
Mim membawa maksud Maghfirah. Maghfirah bermaksud keampunan. Dalam Ramadhan Allah menutup semua pintu neraka di samping membelengu dan mengikat syaitan sebagai tanda Allah membuka pintu keampunan kepada seluruh manusia.

Huruf Dhad
Huruf ini memberi lafaz dhiya’. Dalam bahasa arab dhiya bererti cahaya. Inilah yang dimaksudkan sebagai cahaya petunjuk. Apakah petunjuk yang Allah berikan dalam Ramadhan?Itulah Quran yang diturunkan pada malam Lailatul Qadr sebagai petunjuk kepada orang yang beriman.

Huruf Alif
Alifun merupakan singkatan kepada huruf Alif. Ia bermaksud jinak. Kita terus dapat mengerti bahawa Ramadhan melatih kita untuk berjinak-jinak. Bukanlah kita dituntut untuk berjinak-jinak dengan amalan keburukan tetapi kita dituntut untuk berjinak-jinak dalam isu mengejar kebaikan yang diberikan Allah.

Tidak hairanlah kalau kita lihat dalam bulan ibadah ini terutamanya 10 malam terakhir, ramai orang mula berjinak-jinak untuk beriktikaf di masjid, berkumpul di masjid untuk Qiamullail dan berjinak-jinak menghabiskan bacaan Quran walaupun tidak pernah mereka lakukan seumpamanya di bulan lain. Inilah madrasah dan university yang ingin melatih kita semua.

Huruf Nun
Singkatan kepada perkataan Nikmat ialah huruf Nun. Nikmat yang diberikan Allah dalam Ramadhan begitu banyak tidak terkira. Sehinggalah para ulama’ menggambarkan kalaulah dijadikan pohon-pohon sebagai mata pena dan seluruh lautan ditukarkan kepada dakwat, nescaya tak termampu kita untuk menulis nikmat Allah yang tidak terhingga.

Di sebalik keheningan Ramadhan, kita masih diberikan nikmat kesihatan dan kelapangan. Apa yang berlaku kepada mereka yang sakit, lumpuh dan terseksa dalam bulan Ramadhan? Inilah nikmat yang tuhan sedang bicarakan untuk melatih kita bersyukur dalam Ramadhan dengan menahan lapar dan nafsu.

Maka semua pihak yang menyedari tentang keberkatan bulan ini akan berlumba-lumba merebut pahala. Namun sesetengah di kalangan mereka menjadikan ibadah berlumba-lumba ini secara bermusim. Oleh itu, mereka seakan – akan menjadikan hanya Ramadhan sahaja sebagai bulan ibadah tetapi tidak di bulan lain. Tindakan itu seakan-akan melambangkan bahawa mereka menyembah Ramadhan dan bukan menyembah Allah yang maha berkuasa.

Tetapkan niat kita untuk menjadikan Ramadhan sebagai Universiti untuk kita kekal bergraduat sebagai Graduan Takwa. I’allah!!!!

No comments: