"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Thursday, October 23, 2008

KENYATAAN AKHBAR : Sokongan GPMS Terhadap ISA Dipersoalkan

Penulis terbaca satu tajuk yang membawa kebimbangan besar terhadap diri sendiri dan para pelajar. Tajuk yang tertera dalam akhbar Sinar Harian menggambarkan pendirian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang menyokong penguatkuasaan undang – undang ‘drakonian’ iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sungguh mengecewakan dan amat mendukacitakan apabila sebuah persatuan yang bernaung hampir di setiap universiti ini menyokong akta tahanan tanpa bicara ini.

Seharusnya persatuan pelajar seumpama itu memperjuangkan kebebasan mahasiswa bersuara bukannya menyokong akta yang menyekat dan menghimpit suara mahasiswa. Kita perlu jelas bahawa pandangan dan suara mahasiswa adalah untuk membantu pembangunan negara melalui pemikiran secara kritis dan kritikal. Ini bertepatan dengan pandangan ahli falsafah Karl Popper yang menyatakan isu – isu utama negara perlu kepada pemikiran rasional dan kritis. Melalui pemikiran ini maka segala kepincangan dalam institusi – institusi awam dapat didedahkan dan diberikan jalan penyelesaian. Tetapi dengan penguatkuasaan ISA maka pemikiran rasional dan kritis ini seakan dihapuskan dari terus subur dalam jiwa dan raga mahasiswa.

Hampir sebilangan besar tenaga akademik, pensyarah, pengamal undang – undang, hakim, badan bukan kerajaan serta gerakan pelajar sendiri menolak akta rimba ini. Namun perkara ini berlaku disebaliknya terhadap GPMS. Secara tidak langsung, masyarakat dan rakyat akan melihat GPMS sudah tidak lagi relevan untuk memperjuangkan isu pelajar kerana persatuan itu sendiri bersekongkol dengan akta yang tidak munasabah. Malahan, tindakan menyokong itu merupakan usaha menghapuskan kesuburan demokrasi kampus dan kuasa autonomi universiti.

Umum mengetahui bahawa akta ini punya sejarahnya tersendiri. Akta ini bertindak kejam apabila ia membelakangkan tuntutan Perlembagaan Persekutuan terutama melalui Artikel 5. Di dalam Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu ditahan maka seseorang itu harus diberitahu sebab – sebab penahananya dan dibenarkan berjumpa dengan peguamnya. Selain itu Artikel 5(4) juga menyebut bahawa sekiranya seseorang itu ditahan tanpa pembebasan maka dalam amsa 24 jam perlu dihadapkan ke mahkamah. Melalui peruntukan ini kita akan menyedari bahawa ISA tidak mengakui dan menuruti peruntukan perlembagaan persekutuan.

Malahan ia juga bertentangan dengan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) yang membariskan bahawa seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya. Tetapi melalui ISA seseorang itu terus dihukum salah apabila dikenakan tindakan tahanan selama enam puluh hari dan dengan kuasa Menteri Dalam Negeri boleh ditahan selama 2 tahun tanpa bicara.

Maka hujah bahawa ISA sebagai benteng terakhir untuk menangani rusuhan dan tunjuk perasaan adalah tidak relevan dan tidak masuk akal. Hal ini pernah diterangkan oleh Almarhum Tan Sri Harun Hashim, Mantan Hakim Mahkamah Tinggi dan Persuruhjaya SUHAKAM bahawa ISA bukanlah medium dan platform terbaik untuk menghalang demonstrasi. Beliau berpendapat bahawa tindakan provokasi dari polis menyebabkan rusuhan dan demonstrasi bertukar menjadi ganas. Contoh dibawakan beliau sangat mudah iaitu mengapa perarakan Thaipusam atau Wesak tidak menjadi ganas? Ini kerana ‘procession’ ini tidak diprovok oleh pihak polis. Maka masyarakat dan pihak polis perlu diberikan pendidikan yang sesuai dalam konteks ‘security control’ bagi menangani isu demonstrasi.


Oleh yang demikian, penulis melihat perlu ada perubahan pemikiran persatuan yang diterajui GPMS. Jangan kita mudah untuk bermadah dan berkata. Kalau negara kita kini masyarakatnya majmuk dan mampu hidup aman damai tidak seperti dulu dimana kita hidup dalam darurat akibat ancaman komunis. Maka undang – undang (ISA) pun perlu berubah disebabkan perubahan masyarakat kini. Harapan baru mula meniti agar GPMS terus relevan mendepani perubahan semasa dan bukan berada setapak kebelakang dan dimaki hamun oleh rakyat marhain.

2 comments:

Fahmi Mahat said...

GPMS takde sebab untuk tidak menyokong apa yang ditelah digazetkan oleh Kerajaan BN. GPMS is just GPMS. Ia bukan ada pendirian sendiri pun.. wait, salah2.

Ia tak patut ada pendirian sendiri pun, sebab ia adalah jentera penggerak Aspirasi di semua IPT di Malaysia. Aspirasi tugasnya menyokong aspirasi kerajaan. Dan ini takkan berubah walau sapa pun pengerusi atau presiden GPMS tu. GPMS is GPMS and nothing more.

this isnt just 0.02.

Hafiz Nabilah said...

Saya cukup kagum dengan pandangan sisi yang diberikan oleh Fahmi. Hebat!!!