"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Tuesday, March 25, 2008

Kedah v Perak (5-1) : Buah tangan buat Penyokong Kedah

Sumber:Utusan.com.my


ALOR STAR – Kedah menghadiahkan 'buah tangan' berganda kepada penyokong mereka apabila menyajikan persembahan bertenaga dengan membelasah Perak 5-1 dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Beraksi di hadapan lebih 35,000 penonton yang mendapat keistimewaan tiket percuma daripada kerajaan negeri, pasukan Sang Kenari kelihatan begitu bernafsu memburu gol dengan melancarkan serangan bertali arus sejak wisel permainan ditiupkan pengadil.

Gol pertama tuan rumah muncul pada minit ke-13 selepas pertahanan Perak, S. Subramaniam tertampan bola ke dalam gawang sendiri ketika cuba menyekat larian solo Muhd. Khyril Muhymeen, sekali gus menggegarkan stadium dengan sorakan penonton yang sabar menanti sejak 5 petang.

Tujuh minit kemudian, Stadium Darul Aman sekali lagi gegak gempita dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Muhd. Khyril mudah menendang bola menewaskan penjaga gol Perak, Hamsani Ahmad selepas mendapat hantaran Marlon Alex James sebelum menambah gol ketiga Kedah dan kedua peribadinya pada minit ke-28.

Alex James kemudian menambah derita pelawat apabila menyumbat gol keempat Sang Kenari, enam minit sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

Perak pula yang beraksi tanpa penjaring terbanyaknya, Carlos Caceres mendapat gol sagu hati menerusi Mohd. Razali pada minit ke-72 sebelum pemain muda Kedah, Fadly Baharom melengkapkan 'malam pesta' bagi penyokong tuan rumah dengan gol kelima Sang Kenari hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti, 12 minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat.

Kerajaan negeri 'menghadiahkan' tiket percuma kepada penyokong dan peminat bola sepak Kedah pada perlawanan malam tadi sebagai tanda terima kasih kepada rakyat negeri ini atas sokongan mereka pada pilihan raya umum lalu.

Turut berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama Menteri Besar, Azizan Abdul Razak yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

No comments: