BIROKRASI KAMPUS YANG TEBAL DAN BEBAL
Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman,
Timb. Presiden 1, Persatuan Mahasiswa Undang – Undang,
Sessi 2005/2006,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman,
Timb. Presiden 1, Persatuan Mahasiswa Undang – Undang,
Sessi 2005/2006,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Aktiviti berpersatuan sememangnya diamalkan setiap universiti seluruh dunia. Ia memberi peluang kepada para pelajar untuk bermasyarakat dan beraktiviti secara berkelompok. Mereka bebas untuk mengadakan sebarang bentuk aktiviti dan program yang membina demi kepentingan kehidupan para pelajar universiti dan rakyat. Namun begitu situasi ini amat berbeza di negara kita yang menyambut jubli emas kemerdekaan tahun ini. Para pelajar dicengkam rakus oleh badan universiti seperti Hal Ehwal Pelajar (HEP) terhadap kegiatan kemahasiswaan mereka. Kebebasan berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) seakan retorik dan tiada manifestasinya. Walaupun sekatan dan halangan yang diberikan, minda pelajar yang masih merdeka dan segar tetap tegar berdiri dibelakang kongkongan AUKU. Segalanya bermula disebabkan birokrasi tebal dan bebal dalam pentadbiran universiti.
Birokrasi merupakan amalan yang menjadi kelaziman dalam pentadbiran pelbagai organisasi. Ia diperlukan bagi meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan. Namun begitu, impak negatif birokrasi terutamanya dalam kampus universiti tampak terserlah dan melambatkan proses serta program kebajikan pelajar. Mahasiswa sering ditekan dan ‘diperkosa’ oleh birokrasi universiti. Antara contoh yang boleh dipaparkan seperti aktiviti yang disekat dan tidak diluluskan oleh HEP. Pelbagai alasan dan sebab yang tidak relevan diberikan semata – mata mahu dihentikan program itu. Selalunya program yang dihentikan ialah program yang berbentuk ilmiah seperti kolokium, konvensyen, seminar, diskusi, forum dan seumpamanya. Malahan, apa yang dikesalkan apabila program yang berbentuk hiburan begitu mudah diluluskan. Sedangkan program berbentuk wacana ilmiah harus diperjuangkan tetapi dinoktahkan serta merta.
Hujah mereka yang begitu dangkal apabila dikatakan program tersebut terlalu berat untuk diterima pelajar dan program tersebut terlampau kritis. Inilah yang dikatakan sebagai ‘mental block’ yang dialami oleh sebahagian pentadbir universiti. Kemungkinan besar, mereka yang dipilih menjadi pentadbir universiti adalah mereka yang tiada pengalaman berpersatuan atau pelajar yang pasif ketika menuntut di kampus dahulu. Mentaliti sebegini harus dibuang jauh kerana ia menyekat saranan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang mahukan negara melahirkan tokoh pemikir. Sikap mereka juga menafikan idea dan cadangan Perdana Menteri Malaysia yang mahu melahirkan rakyat mentaliti kelas pertama dunia. Inilah yang dikatakan sebahagian pemikiran pegawai hal ehwal pelajar yang jumud, kolot dan tidak terbuka seperti katak di bawah tempurung. Bahkan program yang berbentuk ilmiah ini diperlukan kerana ia menjadikan mahasiswa seseorang yang kritikal dan analitikal dalam membuat keputusan dan kajian.
Antara sebab lain menjadikan birokrasi kampus menyusahkan ialah apabila pegawai yang ditugaskan sering ‘outstation’ dan menjalani kursus. Ketika para pemimpin pelajar sudah siap kertas kerja (paper work) dan menunggu kelulusan universiti maka kelulusan tersebut menjadi lambat kerana tiada pegawai berkaitan. Secara tidak langsung ia memberikan kesan negatif kepada aktiviti tersebut. Bayangkan apabila kertas kerja disiapkan 3 bulan awal tetapi diluluskan sebulan sebelum program. Di manakah bajet dan sponsor yang harus dicari para pelajar? Kebanyakkan syarikat besar menolak tawaran untuk menjadi sponsor program tersebut kerana permohonan bajet terlalu lambat tiba kepada mereka. Persoalan sekarang adakah kerajaan begitu miskin untuk menggajikan pegawai lain yang boleh memangku pihak mereka? Bahkan saya mencadangkan kepada pegawai yang sering mengikuti kursus dalam masa yang sama diberikan tanggungjawab meluluskan aktiviti pelajar supaya diberikan ‘jobscope’ sebagai pegawai kursus dan bukan pegawai hal ehwal pelajar kerana sikap dan tabiat mereka itu.
Selain itu, sikap pilih kasih dan malas bekerja turut dialami sebahagian pentadbir universiti terutama dalam bahagian hal ehwal pelajar. Mereka begitu malas meluluskan program pelajar kerana ia akan membebankan mereka dalam bekerja. Di samping itu mereka juga tidak mahu bertanggungjawab atas program yang dianjurkan pelajar kononnya bagi mengelakkan diri mereka dari dilabel sesuka hati oleh beberapa pihak. Sekiranya perkara ini berlaku, kenapa dan mengapa mereka tidak berfikir bahawa gaji yang mereka terima begitu susah dan payah dibayar oleh rakyat negara kita . Rakyat mahu para pelajar dilahirkan dari taman ilmu ini segar dan peka terhadap isu semasa serta berpemikiran kritis dan kritikal. Tetapi bayaran rakyat terhadap pentadbir universiti tidak berbaloi apabila pulangan diberikan ialah dengan sekatan dan halangan aktiviti pelajar. Pelajar akan menjadi pasif dan mudah terdedah kepada gejala sosial kerana sikap pentadbir universiti.
Tambahan pula, sikap malas ini didorong oleh sikap pilih kasih yang subur dalam jiwa mereka. Mereka lebih cenderung untuk meluluskan program kepada persatuan tertentu. Hal ini kerana, persatuan tertentu tersebut menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka samada moral dan material. Malahan sikap pilih kasih membuak – buak kerana mereka anti kepada persatuan yang begitu lantang memperjuangkan kebajikan dan kebebasan pelajar. Sebagai contoh, pernah beberapa ketika sebuah persatuan di universiti yang berlatarbelakangkan antarabangsa mahu melaksanakan aktiviti sukarelawan membantu pelajar kemasukan baru ketika minggu suai kenai atau taaruf digantung aktiviti persatuan tersebut hampir satu semester. Sudahlah digantung tetapi tidak dinyatakan secara rasmi hitam putihnya. Penggantungan tersebut hanya disebabkan isu teknikal iaitu ‘banner’ yang digantung serta aktiviti sukerelawan tidak mendapat kelulusan HEP. Walhal, persatuan tersebut mahu membantu pihak universiti meringankan beban pentadbiran dengan mengangkat beg pelajar baru. Adakah dengan mengangkat beg perlu mendapat kelulusan universiti? Kenapa perlu ada sikap prejudis melampau terhadap pelajar terutama kepada persatuan yang berlatarbelakangkan Islam? Hakikatnya persatuan tersebut digantung dan para pelajar telah rugi aktiviti selama satu semester dan penilaian buruk telah diberikan kepada universiti kerana sikap segelintir pentadbir universiti yang pilih kasih. Inilah yang amat dikesali kerana ia berlaku dalam kampus Negara kita.
Secara kesimpulannya, sikap ‘red tapped’ ini perlu dikikis dari disemai di dalam jatidiri pentadbir universiti. Mereka perlu lebih lunak dalam meluluskan aktiviti pelajar. Sungguhpun begitu keterbukaan dan ketelusan serta integriti tinggi ini dapat memulihkan kembali reputasi instutusi pengajian tinggi. Kita yakin dan percaya dengan sikap sebahagian pentadbir yang lain yang bertungkus lumus dalam menjayakan misi pengajian tinggi. Namun disebabkan segelintir mereka yang malas dan berpemikiran jumud serta pilih kasih dalam pentadbiran terutama dalam bahagian hal ehwal pelajar umpama kerana setitik nila habis susu sebelanga. Ini juga sejajar dengan saranan memanda perdana menteri yang mahukan birokrasi pegawai kerajaan dikurangkan terhadap rakyat. Kita mahu Kementerian Pengajian Tinggi menyemak dan melaksanakan rombakan serta reformasi dalam pentadbiran universiti agar lebih mapan dan kukuh. Jangankan pula kita terpaksa memberi ‘anugerah penyapu’ kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana reputasi pengajian tinggi yang jatuh merudum dan tidak diyakini oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment