"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Tuesday, June 12, 2007

KONTROVERSI ISLAM DI MALAYSIA

Islam itu Indah - Gambar hiasan

Islam adalah agama yang suci dan tinggi. Ini telah termaktub di dalam Al Quran, surah Al Imran yang menyatakan bahawa agama disisi Allah ialah agama Islam. Oleh itu, ayat sebentar tadi telah menafikan darjat agama – agama lain selain Islam. Maka secara tidak langsung, Islam itu mulia dan tidak boleh dipertikaikan kewibawaannya oleh mereka yang bukan dari ‘ahlinya’. Ini sejajar dengan firman Allah di dalam surah An Nahl yang berbunyi, “Maka bertanyalah kepada ahluz zikri (orang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam) jika kamu tidak mengetahui.” Inilah antara syarat utama dalam perbahasan agama iaitu orang yang ingin memperdebatkan agama ialah mereka utuh dari segi ilmu yang sah dan betul. Ulama muktabar telah bersepakat bahawa larangan di dalam ayat tersebut dikenakan terhadap mereka yang tidak mempunyai kekuatan dari sudut ilmu agama. Berpandukan situasi di Malaysia, Islam telah diletakkan pada martabat begitu tinggi di dalam perlembagaan persekutuan iaitu Perkara 3 yang menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan dan begitu juga yang disebut di dalam Perkara 11(4) bahawa agama lain tidak boleh menyebarkan ajaran mereka dikalangan penganut agama Islam. Peruntukan yang diberikan ini membawa kepada sifat kebal untuk ajaran Islam berdasarkan kepada sejarah dan adat negara kita.

Namun pandangan saya dipandang lekeh oleh panelis dengan sekadar berkata, “I love when young angry man speaks” dan saya dihentam secukupnya sehingga mendapat tepukan gemuruh oleh hadirin yang menandakan sokongan kepada panelis itu.
Walaubagaimanapun, negara kita tidak lari daripada tohmahan dan kontroversi terhadap Islam. Mehnah dan tribulasi ini ditimbulkan oleh penganut ajaran Islam sendiri. Kontroversi yang ditimbulkan terhadap Islam boleh saya simpulkan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah melalui penulisan dan kenyataan dan kategori kedua ialah melalui penyelewangan akidah dan ajaran sesat. Sejarah telah mengukir beberapa nama yang terlibat dalam penulisan yang jelas mengenepikan agama kerana mahu mendabik dada sebagai pejuang kebebasan bersuara dan berpendapat. Akhirnya Islam diletak tepi dek nafsu serakah yang meruntun dan bergelora. Antara kenyataan yang menghiris hati umat islam ialah tulisan Farish A. Noor di dalam New Straits Times pada tahun 2000 yang menyatakan sifat kemanusiaan nabi terbukti apabila mengadakan seks bersama 15 orang perempuan dan dituruti oleh seorang gundik yang tidak beragama islam. Wacana ini bersifat perjudis dan mencabar sensitiviti umat Islam.

Ia diteruskan lagi dengan peristiwa dimana beberapa Mufti pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan tegahan menonton Filem Hindi yang keterlaluan dikalangan umat Islam. Maka seorang penulis yang bernama Akhbar Khan telah menulis di dalam The Sun bertarikh 2001 yang menyatakan bahawa serban – serban mufti terlalu ketat hingga menyebabkan oksigen tidak dapat masuk ke otak dan berfikiran tidak waras. Kenyataan itu bertujuan bagi mengutuk dan menghina pandangan yang diberikan oleh mufti. Malahan perkara yang memeritkan ialah kenyataan serius oleh Pengarah Eksekutif Sister in Islam (SIS) yang menyatakan di dalam Utusan Malaysia pada tahun 2000 bahawa pentafsiran sumber – sumber Islam bukanlah milik ulama semata –mata. Menurut kepada kenyataan tersebut, beliau mahukan pentafsiran tidak boleh dimonopoli oleh ilmuan agama semata-mata. Ini sangat bertentangan dengan disiplin ilmu Islam, kalau tidak masakan wujud ayat – ayat yang melarang kita untuk menafsir sesuka hati. Terkini ialah artis yang telah mengeluarkan pendapat berkaitan penghinaan isteri nabi kita. Sungguhpun begitu, hasil tindakan pantas beberapa NGO dan aktivis Islam yang menuntut supaya permohonan maaf dilakukan, maka artis yang menyindir itu telah bersedia bersemuka media dan mengadakan pengakuan dan permohonan maaf dihadapan umat Islam. Justeru, penghinaan berbentuk ekpresi ini amat menyentuh sensitiviti kita sebagai umat Islam dan pelbagai alternative perlu digariskan segera.

Kategori kedua ialah berkaitan penyelewangan akidah dan ajaran sesat. Terbaru isu Azlina Jailani atau Lina Joy yang memakan masa selama sembilan tahun gara – gara mahu menukar status agama dalam kad pengenalan dirinya telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan. Keputusan itu telah mengukuhkan penjelasan undang – undang yang menyatakan bahawa agama Islam boleh dipraktikan secara bebas dan bukan sekadar amalan ritual. Melalui keputusan ini juga kuasa mahkamah syariah tidak dipinggirkan dan dijadikan sandaran kepada kes yang berkaitan Islam. Saya pernah menyatakan pandangan saya berkaitan isu ini di dalam program Hari Hak Asasi Malaysia yang dianjurkan oleh SUHAKAM di sebuah hotel ternama di ibu kota. Di dalam program itu saya menyatakan bahawa semua agama mempunyai ajaran dan nilainya tersendiri yang perlu dihormati. Begitu juga Islam yang mempunyai nilainya tersendiri dan masalah murtad adalah salah satu nilai yang perlu dihormati. Namun pandangan saya dipandang lekeh oleh panelis dengan sekadar berkata, “I love when young angry man speaks” dan saya dihentam secukupnya sehingga mendapat tepukan gemuruh oleh hadirin yang menandakan sokongan kepada panelis itu. Isu ini berlarutan dan dimainkan sehingga tertubuhnya idea untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC). Sebanyak 14 tuntutan telah dikemukakan dalam usaha kononnya menyokong kebebasan beragama. Namun tuntutan tersebut ternyata menyinggung perasaan umat Islam sehingga tercetus beberapa siri demonstrasi yang menuntut pemansuhannya. Kerajaan Malaysia akhirnya membuat keputusan supaya menangguh dahulu penubuhan itu. Oleh itu, sebahagian umat Islam masih mendesak kerajaan supaya terus bertindak dengan menghentikannya bukan sekadar menangguh.

Satu lagi isu yang panas dan jelas kontroversinya ialah penyelewengan akidah yang dipimpin oleh beberapa ajaran sesat. Antaranya ialah ajaran yang disampaikan oleh pengikut Al Arqam yang membawa ajaran Aurad Muhammadiyyah. JAKIM telah bertindak agak lewat namun berjaya mengharamkannya dari terus tersebar luas. Kes ini telah berlaku di awal tahun 1968 sehinggalah diharamkan sepenuhnya oleh kerajaan pada tahun 1994.. Tetapi ia kini berkembang melalui sebuah syarikat dan terdapat rungutan bahawa penubuhan syarikat itu adalah bertujuan bagi menghidupkan kembali jemaah itu. Apa yang jelas ajaran Abuya Ashaari boleh dikatakan tidak melampau setanding ajaran Haji Kahar yang mengaku sebagai nabi melayu yang telah dibongkarkan oleh Edisi Siasat terbitan NTV 7. Ketika beliau ditangkap dan dihukum di mahkamah syariah, beliau sempat membuat ulasan yang beliau telah meletak jawatan sebagai nabi melayu. Lihatlah betap hodohnya pemikiran bangsa kita yang sanggup memperjudikan maruahnya hanya terpesong dengan akidah songsang. Di sebalik kebobrokan akidah mereka yang menjadi ‘abuya’ dan ‘nabi’ ini, Malaysia sekali lagi dimalukan dengan pengakuan seorang penduduk melayu di Terengganu yang mengaku sebagai Tuhan. Ajaran beliau dikenali sebagai ajaran Ayah Pin. Apa yang menyedihkan beliau telah berjaya memurtadkan beberapa muslim tetapi sehingga kini belum pernah dikenakan sebarang hukuman. Kalau abuya dahulu dikenakan hukuman ISA, tetapi Ayah Pin yang terkenal dengan kerajaan langitnya lesap begitu sahaja. Kalau Arqam dahulu hanya melibatkan akidah dari sudut amalan dikenakan hukuman yang berat, maka Ayah Pin yang mengaku tuhan ini patut ditangkap dan dikenakan hukuman berat semaksima mungkin. Kita amat berdukacita kerana Ayah Pin boleh terlepas begitu sahaja. Tiada sebarang berita penyiasatan berkaitannya malah pihak berkuasa seperti lepas tangan tanpa menghirau sentimen umat Islam yang malu dan kecewa dengan tindakan Ayah Pin.

Penyelesaian kepada pelbagai kontroversi yang melanda ini perlu dicermati oleh semua pihak. Tidak kira kontroversi itu samada berrbentuk ekspresi dan penulisan mahupun berbentuk ajaran dan penyelewangan, ia tetap dikira sebagai penghinaan kepada agama Islam. Saya ingin mencadangkan agar kita merujuk semula sebuah resolusi yang dikeluarkan dalam Kolokium Mahasiswa Undang – Undang Nasional (KOSMOS 06) di UIAM yang dipersetujui oleh majority mahasiswa undang- undang Lembah Kelang agar masyarakat pada setiap peringkat hendaklah menyelesaikan masalah keagamaan berpandukan sudut akademik, sejarah, toleransi dan pendekatan harmoni. Selain itu keharmonian pelbagai agama turut boleh dicapai melalui dialog berterusan tanpa perlu kenyataan yang berbaur sensitif dan menubuhkan suruhanjaya. Kesedaran moral juga perlu dipertingkatkan setinggi yang mungkin agar perkara yang sama tidak berulang. Kita agak kecewa kerana negara kita mempunyai pelbagai badan agama yang terdiri dari negeri, persekutuan, dan badan bukan kerajaan (NGO) namun pemahaman dan penghayatan Islam masih berada di takuk sebelum zaman kemerdekaan. Hakikatnya dengan berganjak usia kemerdekaan Negara kita, maka kita harus turut melangkah dalam memastikan ketinggian Islam dimartabatkan di tanah tumpah sendiri.

No comments: