Bulan Ramadhan menjelang lagi. Kehadirannya dinantikan oleh seluruh makhluk yang beriman di muka bumi. Kedatangannya penuh dengan barakah dan rahmah. Kewujudannya membawa suatu perintah yang bersifat wajib iaitu tuntutan untuk berpuasa. Allah swt berfirman di dalam surah Al Baqarah ayat 183, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
Ketibaannya juga ditemani dengan Ibadah Tarawih yang tiada di bulan - bulan yang lain. Suatu ibadah yang penuh keampunan dan rahmat dariNya. Suatu amalan yang bersifat sangat-sangat dituntut untuk dilaksanakannya (sunnah muakkadah). Al-Bukahri dan Muslim telah meriwayatkan suatu hadith yang maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. keluar pada waktu tengah malam pada bulan Ramadhan kemudian solat dimasjid. Beberapa orang mengikuti solat Baginda Rasulullah s.a.w.. Pada sebelah paginya mereka menceritakan perkara tersebut kepada teman-teman mereka. Maka pada malam hari berikutnya para sahabat yang berhimpun lebih ramai lagi. Pada malam yang kedua ini Nabi Muhammad s.a.w. keluar untuk mengerjakan solat dan para sahabat pun mengikuti solatnya. Pada sebelah paginya para sahabat menyebut-nyebut perkara itu, maka pada malam ketiga orang-orang yang berhimpun dimasjid bertambah ramai lagi.Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid mengerjakan solat pada malam ketiga itu dan para sahabat mengikutinya. Kemudian pada malam yang keempat, masjid tidak lagi muat untuk menampung orang ramai yang datang berhimpun tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid. Beberapa orang sahabat ada yang melaungkan azan "al-solah! al-solah!", tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar juga. Apabila masuk waktu subuh, barulah Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Setelah selesai solat Subuh, Nabi Muhammad s.a.w. menghadap para sahabat, membaca syahadat dan kemudian bersabda: 'Sesungguhnya aku bukannya tidak tahu bagaimana keadaan kamu malam tadi, akan tetapi aku khuatir kalau-kalau kamu menganggap bahawa hal ini (solat malam Ramadhan) diwajibkan atas kamu, maka kamu tidak mampu mengerjakannya.'
Apa yang ingin saya sampaikan dalam entri kali ini ialah tentang semangat seorang lelaki tua yang telah berusia lebih daripada 70 tahun untuk beribadah di bulan Ramadhan. Sebenarnya situasi ini berlaku hasil pemerhatian saya di Masjid Nurul Ehsan yang terletak di Seberang Perak, Kedah. Seorang lelaki berusia yang pernah berjabat tangan saya untuk menikahkan saya pada tahun 2009 kini telah bersara daripada menjadi Imam Utama di masjid tersebut. Beliau ialah Ustaz Abd Ghani Ibrahim yang merupakan abang kepada Mantan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu Dato' Dr Ismail Ibrahim.
Beliau kini kelihatan agak uzur. Apabila ingin berjalan, beliau perlu dipimpin. Kalau tidak dipimpin, beliau berjalan sangat perlahan demi memastikan setiap langkahnya tersusun dan teratur. Namun, apa yang mengejutkan ialah beliau masih lagi mampu mengepalai solat tarawih biarpun usia dan kekuatannya sedemikian. Solat yang dipimpinnya pula sehinggalah ke rakaat yang ke-20. Amat memalukan dan menjelikkan sekiranya kita yang usia muda belia ini gagal menunaikan ibadah tarawih secara sempurna. Orang yang begitu 'lama' dan 'senior' ini walaupun kudratnya tidak berkemampuan tetapi hatinya masih kukuh berpegang kepada janji nabi yang pasti iaitu, "Sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharapkan pahalanya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." ( Hadith Al Bukhari dan Muslim).
Marilah kita sama-sama berdoa agar kita terus istiqamah menghidupkan bulan Ramadhan ini dengan solat Tarawih. Semoga kita tergolong dalam golongan muttaqin yang sentiasa mencari keampunan daripada Allah dan terhindar daripada golongan muflisin yang sentiasa mendapat penghinaan daripada malaikat seperti sabda nabi, “Celakalah orang yang menjumpai Ramadan lalu tidak diampuni” (Hadith riwayat Al Hakim)
No comments:
Post a Comment