"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Sunday, August 28, 2011

Pecutan Terakhir Ramadhan di SMK Tobiar dan Surau An Nur Bedong

Jazakallahu khairan Jaza' saya ucapakan kepada Izzat Afif As Saiburi dan rakan-rakan atas jemputan untuk berkongsi pandangan bersama para pelajar. Mudah-mudahan perkongsian tersebut menyemarakkan lagi semangat untuk meneruskan Ramadhan kali ini. Say nukilkan beberapa perkongsian tersebut.

Masa pantas berlalu
Masa pantas berlalu. Sedar atau tidak kita sudah melangkah kaki ke 10 malam terakhir bahkan hanya beberapa hari saja lagi yang berbaki untuk kita bersama Ramadhan yang mulia ini. Teringat sepotong hadis shahih yang sangat bermakna berkaitan masa dan tanda kiamat. Mafhum hadis tersebut, tidak akan berlaku kiamat sehinggalah satu tahun seperti sebulan, sebulan seperti sehari, sehari seperti sejam, sejam seperti percikan api. Hadis ini memberikan satu petanda bahawa semakin cepat masa berlalu maka semakin hampir kita dengan kiamat. Kiamat bakal berlaku apabila semua tanda-tanda besar menjelma. Peristiwa Kiamat merupakan satu peristiwa yang menggerunkan.

Di dalam surah Al Qariah, telah dijelaskan bahawa hari Kiamat sememangnya hari yang menggerunkan. Dalam surah tersebut menjelaskan kepada kita bahawa manusia begitu ramai berhimpun dan bersesak sepertimana kalkatu yang berterbangan dan boleh tersasar apabila terkena angin yang kencang. Begitu juga keadaanya pada gunung dan bukit yang kukuh lagi kuat. Apabila berlaku hari Kiamat, gunung dan bukit berterbangan seperti debu. Persoalannya, dengan masa yang pantas menjadi tanda semakin hampirnya kiamat, sudah bersediakah kita semua? Nah! Kalau belum bersedia, 10 malam terakhir dalam Ramadhan inilah waktu yang perlu kita lipatgandakan pahala.
Projek Mega Ramadhan Allah SWT

Saya terkesan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Sheikh Elias Zakaria, YDP Majlis Agama Islam P.Pinang dalam satu majlis berbuka puasa bersama Persatuan Alumni Maktab Mahmud (PAMM). Beliau menggariskan tiga aspek utama yang Allah sediakan dalam projek megaNya. Aspek-aspek ini juga saya kongsikan dalam pertemuan bersama para pelajar sekolah ini iaitu untuk bertaqwa (Tattaqun), untuk bersyukur (Tashkurun) dan untuk mendapat petunjuk (Yarsyudun). Saya huraikan mengikut gaya bahasa saya dan tambahan nota penting untuk memberikan lagi semangat untuk kita terus komited dengan Ramadhan 1432H dalam 10 malam yang terakhir ini.

Ijazah Taqwa sesudah Ramadhan
Keputusan Projek Mega Ramadhan menjanjikan kita menjadi hamba yang bertakwa. Ini adalah janji Allah yang benar seperti dalam ayat 183 Surah Baqarah. Apakah dimaksudkan dengan taqwa? Taqwa boleh didefinisikan sebagai melaksanakan apa yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Ini bermakna sebulan kita berpuasa dengan menahan nafsu dengan meninggalkan segala apa yang ditegahNya dan berlumba-lumba menggandakan pahala, maka kita dalam proses untuk mendapatkan ‘Ijazah Takwa’ sewaktu konvokesyen Universiti Ramadhan. Kisah sifat orang bertakwa dapat digambarkan melalui sifat baginda yang begitu tegas malaksanakan hukum Allah tanpa mengambil kira sesiapa walaupun anaknya. Sebab itu nabi pernah berkata di khalayak, “Kalaulah Fatimah mencuri, akanku potong tangannya.” Inilah sikap dan sifat orang yang Berjaya mendapat martabat taqwa. Malang sekali, hari ini taqwa kita kepada Allah hanya sekadar toku’a (tauhu dalam bahasa Kedah) yang hanya bersifat ‘hammasah’ (bersemangat) ketika melaksanakan ibadah dan bukan istiqamah. Ramadhan masih berbaki dua tiga hari dan masih punya harapan untuk memiliki taqwa.

Natijah Ramadhan hasilkan Orang Bersyukur
Dalam surah Baqarah ayat 185 dinyatakan dengan jelas bahawa proses Ramadhan juga dapat menjadikan kita orang yang bersyukur. Orang bersyukur bermaksud orang yang tahu mengenal budi dan jasa yang diberikan Allah swt. Hal ini kerana, nikmat yang Allah berikan sangat luas dan besar. Demikian juga dalam firmanNya yang mafhum, “Sesungguhnya sekiranya kamu ingin mengira nikmat Allah maka tidak terkira banyaknya.” Puasa mengajar erti kita bersyukur. Bayangkan dengan nikmat rezeki makanan, keamanan dan kegembiraan. Ada di kalangan mereka yang tidak punyai semua nikmat ini. Somalia adalah antara negara yang tidak punyai nikmat makanan yang besar. Tetapi kita di Malaysia masih lagi tidak bersyukur dengan nikmat makan. Maka tidak hairanlah apabila ada segelintir kita yang sanggup ke Bazar Ramadhan membeli juadah melampaui batas seakan-akan kita nak membalas dendam tidak makan selama seharian. Bersyukurkah dengan keadaan begini?!
Dalam hadis Abu Hurairah riwayat Bukhari, menceritakan tentang kisah tiga sahabat yang gagal mensyukuri nikmat Allah. Mereka telah diberikan nikmat dan dua orang telah ditarik semula kerana tidak bersyukur. Hanya seorang sahabat sahaja yang kekal dengan nikmat Allah kerana bersyukur. Ceritanya panjang cuma saya ringkaskan dalam entri ini. Persoalannya adakah kita mahu berdiri sebaris dengan mereka yang pernah nabi sabdakan ini?? Tepuk dada tanya iman.

Begitu juga dengan nikmat kekayaan. Yang menghairankan apabila masuk Ramadhan yang dijanjikan pahala berlipatganda masih ada tangan-tangan di kalangan kita yang enggan menderma dan bersedekah sebanyak yang mungkin. Kalau sebelum Ramadhan, kita derma untuk tabung masjid RM1 begitu juga halnya dengan bulan puasa (RM1). Kenapa kita tidak besarkan nilai derma tabung masjid kita? Dalam sebuah hadis riwayat Tirmidhi, nabi apabila masuk bulan Ramadhan, baginda menjadi seorang dermawan yang lebih banyak bersedekah berbanding orang lain. Kalaulah nabi masih hidup dan melihat sikap begini apa yang kita nak katakan pada nabi?? (Teringat klip-klip video Law Ka Na Bainana)

Petunjuk (Hidayah) Yang Didambakan
Setelah hampir sebulan kita mengharungi bulan yang penuh barakah ini, kita perlu mendoakan agar hidayah Allah itu sampai kepada kita sebelum menghembuskan nafas terakhir. Hidayah adalah petunjuk yang akan menyuluh jalan kita ke negeri abadi. Untuk melihat dunia yang jauh di mata kita, kita akan menggunakan teleskop. Untuk melihat akhirat yang jauh di mata kita tetapi dekat di hati kita, kita menggunakan hidayah. Atas dasar itu, Allah menyatakan dalam Surah Baqarah ayat 186 bahawa semoga kita mendapat hidayah. Hidayah ini akan kita perolehi kalau kita berterusan bermunajat di 10 malam terakhir Ramadhan secara konsisten dan istiqamah.

Kita gusar kalau Allah tidak kurniakan hidayah sepanjang kehidupan kita. Ingatlah! Hidayah membantu kita untuk jalan mudah ke syurga. Lihatlah betapa ramai orang yang bernama Muslim tetapi tidak tahu bersyukur, tidak tahu berakhlak Islam dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana mereka tidak dikurnia hidayah Allah swt. Amat malang sekali kalau tidak mendapat hidayah Allah. Tidak berguna kalau kita mempunyai pendidikan tinggi, mewah dengan harta benda tetapi kita mendapat hidayah. Sebab itu, orang-orang hebat dunia seperti Alaxender Graham Bell yang mencipta telefon, Thomas Alva Edison yang mencipta lampu dan sebagainya mati mereka masih lagi mati sebagai kafir. Kenapa terjadi begini?? Jawapannya mudah iaitu mereka tidak mendapat hidayah. Oleh itu, kita harus berlumba-lumba bermula hari ini untuk bermunajat kepada Allah agar diberikan hidayah biarpun Ramadhan berbaki dua hari. Kekalkan momentum ibadah anda!

Kematian Itu Pasti
Dalam perkongsian tersebut saya tegas juga bahawa walaupun Ramadhan semakin meninggalkan kita, jangan jadikan ia satu alasan untuk kita malas beribadah. Walaupun bacaan Quran kita sedikit teruskan membaca sehingga saat akhir Ramadhan walau tidak berjaya khatamnya. Allah melihat kepada kualiti kita dan bukan sekadar kuantiti. Selain itu, kalau selama ini kita masih tinggal tarawikh, pastikan 10 malam terakhir kita gempur habis-habisan dan jangan tinggalkannya. Hadis Aisyah ada menyebut bahawa apabila masuk 10 malam terakhir nabi akan mengetatkan kainnya dan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Malu kita kalau nabi yang maksud maksum sanggup berebut-rebut amal ibadah tapi kita masih lagi leka dan alpa.

Begitu juga halnya dengan tuntutan berdoa. Amat malang kalau kita bersahur di hujung malam tetapi tidak cuba untuk bangun menunaikan solat dan berdoa kepada Allah swt. Sepotong hadis riwayat Bukhari ada menyebut bahawa dua tempat dimakbulkan doa oleh Allah iaitu di hujung malam (sesudah sahur) dan selepas solat Fardhu. Ingat untuk banyakkan doa kerana Ramadhan semakin meninggalkan kita.


Akhirnya, kita perlu ingat bahawa kalau bukan Ramadhan ini kita bersungguh-sungguh mengejarnya apakah kita yakin akan bertemu lagi di Ramadhan akan datang? Baru-baru ini seorang rakan saya yang baru saya bersapa dengannya sesudah tarawikh sudah pergi bertemu Khalik. Kita perlu ingat bahawa mati adalah pasti. Cumanya kita tidak tahu 'tanggal keramat' tersebut. Sedarkah anda bahawa puluhan ribu mangsa yang dilanda Tsunami 2004 yang lalu di Indonesia, India, Thailand dan sebagainya tahu bahawa mereka akan mati pada hari tersebut? Tahukah ribuan mangsa 9/11 pada tahun 2001 yang lalu
bahawa mereka akan mati dihempap oleh menara WTC??? Mereka tidak tahu dan kita tidak tahu. 

Sejajar dengan itu, perlu diingat bahawa mati yang kita dambakan ialah mati orang beriman. Mati yang kita jauhkan ialah matinya kufur. Walaupun matinya orang beriman, sakitnya seoalah-olah 300 tikaman pisau. Itulah gambaran yang diberikan nabi. Bahkan Imam Ghazali merakamkan dalam Ihya Ulumuddin bahawa nabi Daud pernah menyatakan sakitnya mati seperti seekor kambing yang tengah meragut di padang rumput tiba-tiba datang orang melapah dagingnya ketika masih hidup dan meragut. Pastinya sakit bukan? Apatah lagi kalau mati dalam kekufuran. Nauzubillah! Oleh yang demikian, mari kita teruskan gear 5 dalam masa yang berbaki dalam Ramadhan. Ya Ramadhan! Kehadiranmu dinanti, pemergianmu ditangisi. 

Tidak dilupakan, jangan kita terus menjadi Hamba Ramadhan dan bukan Hamba Tuhan. Walaupun Ramadhan berlalu pergi, amalan kita masih ada lagi. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik tolak untuk kita berubah. Kekalkan bersama Angin Perubahan!

Share

No comments: