"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Wednesday, August 10, 2011

Hanya Allah Penentu Kejayaan


Apa kabar semua pembaca budiman? Mudah-mudahan kita masih lagi kekal dengan kekuatan Ramadhan yang Allah berikan dan mampu lagi untuk menongkah dua fasa yang seterusnya iaitu keampunan dan pembebasan api neraka. Hari ini saya akan berkongsi tentang tips Hanya Allah penentu Kejayaan.

1. Solat Fardhu
Solat Fardhu merupakan tuntutan wajib yang perlu dilaksanakan oleh semua orang. Mengulangkaji pelajaran yang melampau sehingga meninggalkan solat bukanlah satu alasan. Bahkan jika kita mengulangkaji terlalu lama kemudian menjadikan solat fardhu sebagai waktu rehat merupakan satu amalan yang baik dan praktikal. Ini menjadikan kita lebih berdisiplin dan menghormati masa. Janganlah kita meninggakan solat fardhu untuk mencari kejayaan dunia. Nabi bersabda dalam sebuah hadis masyur, 'barangsiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama, barangsiapa meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agama.' Hadis ini jelas menunjukan kegagalan kita menunaikan solat Fardhu bermaksud kita meruntuhkan agama Islam yang dibina Nabi Muhamad saw. Ibarat sebuah rumah yang dibina untuk kita, tiba-tiba kita dengan sengaja runtuhkannya. Di manakah lagi untuk kita berteduh dari cuaca yang panas? Di manakah lagi untuk kita berlindung dari ancaman dan bahaya kalau kita sendiri yang merobohkan rumah kita? Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa menunaikan solat Fardhu.

2. Solat Sunat
Selain daripada melaksanakan tuntutan wajib, kita juga dituntut untuk melaksanakan solat sunat.
Solat sunnat yang terbaik dilaksanakan oleh pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ialah solat hajat. Solat ini boleh dilaksanakan di mana-mana waktu lapang. Namun pelaksanaan solat ini dituntut mengerjakan di satu pertiga malam. Jangan lupa untuk berdoa kejayaan dalam solat itu. Di samping itu, kita juga dituntut untuk melaksanakan solat sunat yang lain sekiranya kelapangan. Ingatlah firman Allah dalam surah Al Baqarah, "Ingatlah Aku maka akan Aku ingat kamu," dan ini menunjukkan bahawa amalan solat sunat ialah masa untuk kita kembali ingat kepada Allah swt.

3. Bacaan Al Quran
Kita pasti merasai tekanan dan stress akibat bahang peperiksaan yang semakin hampir. Ada satu berita baik untuk anda di luar sana. Sekiranya anda menghadapi tekanan ketika sedang belajar dalam saat akhir, apakata anda berhenti sebentar dan mengambil wudhu' untuk membaca Quran. Ketika anda mengambil wudhu', bayangkan segala masalah, stress dan tekanan semuanya turun sepantas turunnya air yang mengalir dari anggota wudhu'. Berikan sedikit masa kepada diri anda membaca Quran dan menenangkan diri. I'allah, tekanan hilang bahkan kejayaan akan diberkati Allah.

4. Doa
Sepertimana firman Allah yang mafhumnya, Doalah kepadaKu, nescaya akan Aku mustajabkan doamu. Jangan lupa untuk sentiasa menadah tangan seusai solat memohon kejayaan kepada Allah. Hanya Allah yang akan menentukan kejayaan kita. Waktu yang mustajab doa sepertimana yang pernah dinukilkan oleh baginda nabi ialah ketika sujud terakhir dalam solat, waktu turunnya hujan, doa antara dua khutbah dan sebagainya. Bahakan dalam Ramadhan ini doa yang paling terbaik ialah ketika berbukanya puasa. Ambillah masa 3 minit untuk berdoa setelah menjamah sebutir kurma. Mudah-mudahan dimakbulkan Allah.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua peserta Kem Kecemerlangan anjuran Kelab Belia Tobiar dan Masjid Tobiar. Terima kasih kepada Ustaz Izzat Afif dan rakan-rakan atas jemputan dan kepercayaan. Saya yakin dan percaya dengan teknik dan strategi yang betul dalam belajar disulami dengan ingatan kepada Allah kejayaan anda semua bukan sekadar di dunia bahkan di akhirat.

[Satu-satu Pelajar Tingkatan Lima yang berani berkongsi pandangan]


[Sebahagian peserta lelaki]

Share

No comments: