"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Tuesday, July 19, 2011

Kuliah Maghrib Bersama PMIK di Pendang Lake Resort


Pertemuan bersama Persatuan Mahasiswa Islam Kedah (PMIK) Universiti Islam Antarabangasa Malaysia baru - baru ini mengingatkan kembali sejarah dan kenangan indah sewaktu saya dan rakan-rakan memimpin persatuan ini. Sekarang, semua rakan-rakan yang menaungi persatuan sudah bertebaran di serata bumi Kedah bersama keluarga tercinta dan karier yang berjaya.

Alhamdulillah dalam undangan kali ini saya sempat berkongsi pandangan bersama rakan-rakan pimpinan tentang Signifikan Peristiwa Israk terhadap Mahasiswa terutamanya kepada barisan kepimpinan PMIK UIAM. Dalam pertemuan tersebut saya berkongsi Ibrah dan Pengajaran Israk Mikraj ini.

1. Kelajuan Tunggangan Buraq
Sekiranya kita meneliti buku tulisan Muhammad Al Ghazali Rahimahullah tentang Sirah Nabawaiyyah, beliau menyatakan dengan jelas bahawa perjalanan Israk dari Mekkah Ke Baitul Maqdis yang hanya memerlukan sehari perjalanan menuntut kepada tubuh badan yang sihat. Manakan tidak, kalau kita melihat nabi ketika itu sudah berumur 52 tahun mampu menaiki buraq yang diibaratkan sepantas kilat. Beliau berpendapat kekuatan tubuh nabi ada kaitan dengan peristiwa pembedahan dada ketika nabi masih kecil.

Aplikasi Mahasiswa: Di sini jelas bahawa nabi menuntut kita menjadi sihat, cergas dan cerdas. Sebab itu terdapat sebuah hadis shahih yang mafhumnya, "Seorang mukmin yang sihat lebih baik dan dikasihi Allah melebihi mukmin yang lemah." Cabaran ini perlu digalas oleh pimpinan PMIK yang terpaksa berjuang dalam aktiviti kemasyarakatan dan akademik. Oleh yang demikian mereka dituntut untuk menjaga kesihatan demi membawa misi dakwah yang mulia ini.

2. Islam Agama Fitrah
Menurut riwayat Ibnu Hibban, tatkala nabi selesai perjalanan malam itu, nabi telah dibawakan oleh Jibril dua minuman iaitu arak dan susu. Nabi kemudian memilih susu dan Jibril menyatakan bahawa nabi telah memilih fitrah. Di sini dapatlah kita fahami bahawa fitrah manusia yang baru sahaja lahir ke dunia hanya susu merupakan makanan yang sesuai untuk dihadam. Kita tidak pernah lagi mendengar mana-mana ibu di dunia yang menyusukan bayi dengan Milo tarik atau jus oren.

Dalam peristiwa ini, mengikut pandangan Dr Muhd Ramadhan Al Bhuti, Islam adalah satu-satunya agama yang boleh memenuhi tuntutan manusia. Nabi yang membawa ajaran Islam menunjukkan bahawa Islam adalah agama fitrah yang memenuhi tuntutan manusia. Agama ini yang bersifat syumuliyyah merangkumi semua aspek yang terdiri daripada perundangan, politik, ekonomi, kekeluargaan, kebajikan dan sebagainya.

Aplikasi Mahasiswa: Walaupun begitu, dasawarsa ini kita melihat banyak kejadian yang berlawanan dengan fitrah. Berlakunya kejadian seks songsang, seks yang meruntuhkan rumahtangga, kejadian buang bayi dan sebagainya. Secara tidak langsung, peristiwa seperti ini menuntut mahasiswa terutama PMIK menyuarakan pandangan demi Al Amru Bil Makruf Wan Nahyu Anil Mungkar. Bagaimanakah suara ini dapat disampaikan?? Melalui idealisme dan aktivisme mahasiswa yang perlu dihuraikan nanti.

[Muslimat yang komited]

 [Muslimin sanggup datang walaupun ada perlawanan bola antara Liverpool dan Malaysia]

3.Kenapa Mikraj di Baitul Maqdis dan Bukan Masjidil Haram?
Persoalan ini telah ditimbulkan oleh Muhd Al Ghazali. Jelas beliau, terdapat tiga sebab yang menyebabkan mikraj dilakukan di Baitul Maqdis:
a) Baitul Maqdis merupakan simbol sejarah agama wahyu
b) Penghormatan kepada semua nabi yang membawa agama wahyu
c) Nabi sebagai penyambung kepada peradaban silam dan masa kini dalam sudut ajaran Islam.

Aplikasi Mahasiswa: Hal ini dapat kita simpulkan melalui beberapa perkara:
1. Nabi Pemimpin Akhir Zaman
Mengikut kepada riwayat Imam Ahmad Hanbal, nabi menjadi imam kepada semua nabi ketika baginda berada dalam peristiwa ini di Baitul Maqdis. Ini jelas menunjukkan bahawa nabi merupakan pemimpin. Sebagai pemimpin nabi begitu tegas dalam kepimpinannya. Ini dapat dilihat dalam Kitab Rahiqul Makhtum karangan Sheikh Mubarakfuri yang menjelaskan apabila wujud gesaan untuk melalui Perang Uhud di luar kota Madinah maka nabi terus memakai baju perang. Kemudian datang pemuda-pemuda yang tadinya mendesak nabi berperang memohon supaya membatalkan hasrat berperang di luar kota Madinah. Nabi dengan tegas menyatakan, "Apabila seorang nabi memakai baju perang maka sekali-kali tidak akan ditanggalkan bajunya itu."

Oleh yang demikian, telah menjadi kewajipan kepada mahasiswa untuk bersifat tegas dalam setiap gerak kerja. Jangan mudah berputus asa dalam setiap keputusan kerana Allah bersama kita!

2. Role Model Terbaik
Dalam kehidupan mahasiswa, kita perlu mempunyai kalau boleh seorang model. Kita mesti mempunyai kemahuan untuk menirunya. Ini pernah diterangkan oleh Tn Haji Fadzli Yusof dalam bukunya 50 Cara Menjadi Pemimpin Berpengaruh. Bahkan terdapat ayat Quran yang mafhumNya, sesungguhnya pada rasulullah, contoh tauldan dan suri yang terbaik. Model yang terbaik ini boleh dicontohi melalui sifat rasulullah iaitu Siddiq, Amanah, Fatonah dan Tablgih. Penjelasan sifat ini perlu kepada penulisan yang panjang seperti yang pernah saya nukilkan dalam Akhbar Siasah edisi tahun 2009.

3. Baitul Maqdis di sisi Mahasiswa
Kalau ditanya belia yang ada hari ini di Malaysia tentang sumbangan mereka kepada perjuangan Baitul Maqdis, kemungkinan besar lidah mereka menjadi kelu. Oleh yang demikian, sebagai mahasiswa kita perlu menjadi jurubicara ummah dan mendepani isu-isu antarabangsa. Kempen sumbangan kewangan boleh dibuat di kampus, forum isu semasa Palestin perlu diteruskan, penulisan yang mengutuk Israel perlu disuburkan oleh mahasiswa. Ini merupakan antara perjuangan yang mampu kita laksanakan kerana mahasiswa tidak boleh berjuang melalui diplomasi kerajaan atau mengangkat senjata.

Inilah antara beberapa tips yang sempat saya kongsikan dalam pertemuan itu. Mudah2an input yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada semua. Terima kasih diucapkan kepada Sdr Anas atas jemputan. =)


Share

No comments: