"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Sunday, July 8, 2007

Dakwah Kontemporari Melalui Baktisiswa Wawasan Desa IPT 2007

Program Khidmat Masyarakat (Community Service) merupakan salah satu aktiviti yang perlu dimainkan oleh persatuan atau organisasi mahasiswa. Tujuan pelaksanaannya ialah bagi mewujudkan jalinan persahabatan dan tautan ukhwah antara mahasiswa dan masyarakat. Disamping itu, ia turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kuliah untuk diterjemahkan dalam bentuk praktikal kepada masyarakat. Melalui program ini, mahasiswa yang ‘dibayar’ pendidikan mereka oleh rakyat akan memanfaatkan semula kepada masyarakat melalui program berfaedah yang telah disusun. Atas dasar dan platform yang sama, Kelab Ma’ruf (Ma’ruf Club) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah mengorak langkah dengan bekerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan menjayakan program Wawasan Desa IPT 2007 iaitu sebuah program baktisiswa bertempat di daerah Kuala Selangor dan lokasi utamanya ialah Kampung Tanjung Siam Baru..

Pada tanggal 21 Jun 2007 bersamaan hari Khamis, dengan berpakaian serba kuning yang telah disediakan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Selangor, para peserta baktisiswa bagi Kelab Ma’ruf segak dan tampan berkumpul ditangga besar (main stairs) untuk mengikuti perasmian dan pelancaran Wawasan Desa IPT 2007 peringkat UIA yang akan diterajui oleh 30 kelab dan persatuan UIA. Kelab Ma’ruf merupakan antara kelab yang berada di fasa pertama pelaksanaannya. Perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr Abd Rahman Ismail yang merupakan Ahli Parlimen Gombak. Setelah selesai perasmiannya kami pun bergegas menuju kearah bas yang akan menghantar kami ke ‘kampong angkat ‘ kerana di sana kami bakal menghadiri perasmian dan majlis penyerahan anak angkat peringkat kampong. Ketika berada sepanjang perjalanan itu, hati ini berbolak balik dan tidak ketentuan kerana tidak sabar menanti program itu apatah lagi ini merupakan kali pertama Kelab Ma’ruf dipertanggungjawabkan dalam program baktisiswa. Perasaan bercampur baur kerana takut diri yang ditaklifkan ini tidak mampu mengemudi bahtera perjalanan baktisiswa selaras kemahuan masyarakat setempat. Namun berkat kesabaran dan kegigihan bertungkus lumus untuk menjayakan program ini, kami menggagahkan diri dalam membawa mesej dakwah selaras dengan motto kelab kami iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar.

Setibanya penulis di kampong itu, kami disambut dengan bunga manggar oleh penduduk kampong. Dalam menunggu ketibaan dif - dif kehormat kami mengambil peluang untuk sesi bergambar bersama para peserta baktisiswa dan masyarakat kampong. Selepas itu, majlis suai-kenal bermula dikalangan peserta bagi mengisi masa yang terluang. Pelbagai telatah dan lucu ketika sesi ini kerana masing – masing ingin memperkenalkan diri menerusi gaya dan persembahan tersendiri. Tepat jam 12.30 tengahari bermulalah upacara perasmian yang dimulakan dengan paluan kompang dengan kehadiran YB Datuk Ustaz Hj Sayuti Said yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati di Balai Raya Kampung Tanjung Siam Baru. Pelbagai peringatan dan ‘taujihad’ diberikannya sebelum merasmikan penyerahan anak angkat. Sesi perasmian berjalan dengan lancar dan para peserta diberikan masa sepetang untuk bersama keluarga angkat masing – masing. Selepas Asar seperti yang telah dimuafakatkan bersama Pengerusi JKKK dan urusetia program, kami berkumpul semula di surau bagi mengadakan gotong – royong ringkas. Tika penulis tiba, hati mula berasa bersyukur kerana mahasiswi yang turut serta mula berasa dekat di hati masyarakat dengan membawa adik angkat masing – masing untuk turut serta gotong –royong ini. Kami pun pulang ke rumah masing – masing setelah selasai aktiviti itu kerana ingin bersiap untuk program yang pertama iaitu bersiar – siar untuk melihat kelip – kelip di kampong berdekatan iaitu Kampung Kuantan. Penulis teringat satu kata – kata yang diberikan oleh En Saad, seorang Pegawai Perhubungan Awam, Majlis Daerah Kuala Selangor yang menyebut bahawa sebarang lawatan dan kunjungan ke Kuala Selangor tidak akan bermakna sekiranya tidak melawat ke kawasan kelip-kelip yang dianggarkan terbanyak di dunia. Inilah kali pertama penulis berasa begitu dekat dengan kelip – kelip apabila berada di dalam sampan yang sarat penumpang seramai 4 orang bagi menyelusuri tebing Sungai Selangor melihat kelip-kelip yang mendiami pokok berembang yang tumbuh liar sekitar tebing tersebut. Subhanallah, itulah kalimah pujian yang terpancul di mulut ketika melihat ribuan kelip – kelip yang menjadikan pokok – pokok itu bersinar – sinar dalam gemerlapan malam jumaat itu. Itulah kehebatan ciptaan tuhan yang Maha Esa dalam memberikan manusia satu peluang untuk berfikir akan kekuatan-Nya.

Malam itu, penulis dibuai mimpi indah kerana inilah perasaan yang dilalui ketika berada di sebuah kampong tradisional di Selangor. Di kala Subuh, penulis dikejutkan dengan pekikan ayam dan sempat bersolat berjamaah bersama keluarga kerana rumah penulis agak jauh dari surau. Keluarga angkat kami begitu penyayang dan sangat mengambil berat setiap apa yang dlakukan. Pada pagi Jumaat itu, kami dibawa bersiar- siar oleh Ketua Kampung atau lebih mudah dipanggil ‘Tok Ketua’ ke sekitar kampong untuk melihat aktiviti seharian penduduk di sana. Dalam perjalanan itu kami dibawa melihat secara dekat bagaimana pembuatan atap. Aktiviti ini dipanggil menyemat atap. Ramai peserta yang mencuba untuk menyemat atap namun gagal kerana ia memerlukan kemahiran yang tinggi. Selepas itu kami dibawa melawat seorang penduduk yang aktiviti sara hidupnya ialah menangkap ikan. Kami diberikan taklimat yang ringkas berkaitan sungai Selangor dan risikonya. Hamper 2 jam kami mengambil masa untuk bersiar – siar dengan berjalan kaki. Kami meneruskan aktiviti berkumpulan (group binding) iaitu untuk mengadakan sedikit perbincangan bagi persediaan dua program penting pada sebelah petang iaitu bengkel motivasi dan bengkel ibadah yang akan berjalan secara serentak.

Masa yang ditunggu – tunggu kini tiba. Tepat jam 2.45 petang dua program dimulakan serentak. Ia berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pasangan iaitu sebuah sekolah yang mempunyai kapasiti pelajar yang berjumlah kecil. Program pertama iaitu Bengkel Motivasi disasarkan kepada pelajar yang bakal menduduki UPSR. Pengisian yang diberikan ialah melalui ‘ice –breaking’, ceramah, dan latihan dalam kumpulan (LDK). Aspek yang paling penting ditekankan ialah konsep usaha, doa dan tawakkal. Penulis bersama Kelab Ma’ruf mahu memastikan para pelajar di sekolah tersebut yakin dengan bantuan tuhan setelah berusaha dan redha dengan apa yang dikurniakan-Nya. Program yang kedua ialah Bengkel Ibadah iaitu fokus kepada Sifat Solat Nabi. Program ini disasarkan kepada pelajar tahap dua. Alhamdullilah, walaupun program ini singkat iaitu selama dua jam, para peserta telah didedahkan dengan konsep teori dan praktikal melalui sumber yang kukuh iaitu Quran dan Sunnah. Malahan ramai pelajar yang merasa janggal pada permulaannya kerana merasa kekok untuk mempelajari amalan yang diambil dari hadith sahih kerana penerapan ini tidak disuburkan di peringkat sekolah rendah. Namun hasil komitmen dan kerjasama para pelajar mereka kini mampu sedikit sebanyak menguasainya. Pada penghujung kedua – dua program itu, pihak sekolah telah mengambil peluang untuk mengucapkan penghargaan dengan majlis penutup secara ringkas dan diiringi dengan penyampaian hadiah.

Penulis bersama dengan para pelajar sekolah rendah

Di sebelah malam penulis bersama rakan – rakan berjaya mengadakan kuliah maghrib untuk penduduk kampong dan tajuk yang dibawa adalah ringan dan lebih mengfokuskan kearah akidah, ibadat dan penyucian hati (Tazkiyatun Nafsi). Kuliah ilmu ini diadakan pada waktu maghrib dan subuh sepanjang kami berada di kampong ini. Manakala kami akan memastikan setiap kali solat, ia akan diimami dan dipimpin sendiri oleh rakan – rakan penulis (peserta baktisiswa). Sokongan yang ditunjukkan oleh penduduk kampong begitu membanggakan kerana hamper setiap kali kuliah maghrib telah diadakan kenduri kecil. Pada malam itu, penulis sempat merasa laksa kampong hasil kenduri malam itu.


Memberi sedikit pengisian Maghrib

Hari ketiga adalah antara hari yang mencabar kerana ia memerlukan kekuatan fizikal dari para peserta. Namun kami mengisi kekuatan spiritual terlebih dahulu dengan mengadakan majlis Qiyamullail bersama penduduk kampong dan disusuli dengan kuliah subuh. Inilah antara kekuatan yang telah diamalkan solafussoleh yang ingin kami pasakkan dalam diri penduduk kampung. Pada pagi yang ceria itu, peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang diketuai oleh belia kampong terbabit. Kumpulan dibahagikan mengikut aktiviti gotong royong yang telah dipersetujui bersama oleh JKKK dan Kelab Ma’ruf iaitu kumpulan pertama dengan menjayakan projek penanaman nanas dan pisang sebanyak 100 anak pokok setiap satu. Kumpulan kedua dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan batu asas gelanggang futsal unutk kemudahan belia manakala kumpulan ketiga diminta untuk menyiapkan mercu tanda kepada program khidmat masyarakat. Seterusnya kumpulan terakhir perlu membantu terutamanya kaum ibu untuk menyediakan kenduri di balai raya. Sambutan yang diberikan oleh kanak – kanak, belia dan keluarga angkat dalam menjayakan agenda gotong – royong secara besar-besaran tercapai. Penulis berada dalam kumpulan yang menyiapkan mercu tanda dan ia bukanlah tugas sukar kerana papan tanda telah disediakan oleh pejabat belia dan sukan daerah. Tugas yang paling mencabar ialah menanam pokok pisang dan nanas. Disebabkan sarung tangan yang diperuntukkan hanyalah mencukupi untuk kumpulan yang terbabit, maka penulis telah terkena duri ketika menanam pokok nanas. Namun ia merupakan satu aktiviti menyeronokkan kerana malaluinya kami sempat mengetahui betapa letihnya untuk berkebun sepertimana yang dilalui dan dirasai oleh golongan terdahulu.

Mercu Tanda Ma'ruf Club

Perlawanan bola sepak persahabatan telah diatur dan disusun oleh belia kampong itu. Penulis pada mulanya dimaklumkan bahawa permainan ini seakan perlawanan sebenar kerana belia mereka merupakan jaguh antara kampong – kampong sekitar Kuala Selangor. Walaubagaimanapun, kami tidak berasa sangsi dengan kekuatan pihak lawan kerana perlawanan ini sekadar menyahut seruan ulama iaitu ‘aqal yang sihat terletak pada tubuh badan yang kuat.’ Pertandingan ini disudahi dengan seri 6-6 apabila pada separuh masa kedua pihak Kelab Ma’ruf terpaksa memohon pemain ‘import’ kampong kerana mereka begitu kuat. Dalam masa yang sama, beliawanis juga mengatur pertandingan persahabatan bola jaring. Setelah tamat permainan para peserta mengambil masa untuk berehat kerana pada sebelah malam bakal diadakan majlis kebudayaan atau ‘malam seribu kenangan’.

Dengan berbekalkan sedikit persediaan untuk malam kebudayaan para peserta baktisiswa mencuba sehabis baik untuk persembahan. Majlis itu dimulakan dengan persembahan kumpulan Dabus. Kumpulan Dabus dianggotai oleh lelaki dan perempuan dimana lagu selawat dan nasihat dimainkan dengan diiringi oleh paluan rebana dan gong. Bapa angkat penulis merupakan ‘tekong’ untuk kumpulan dabus itu dan selawat yang disampaikan itu sangat menarik dan ia akan menjadi lebih menarik sekiranya anak – anak belia turut serta. Itulah sedikit kelemahan yang dapat ditinjau oleh penulis kerana anak – anak belia tidak menggemari budaya turun – temurun yang lebih didominasikan oleh warga kampong yang separuh abad. Majlis menjadi lebih menarik apabila pantun yang dideklamasikan oleh para pelajar antarabangsa yang terdiri dari pelajar Filipina dan Somalia. Mereka tidak mampu bertutur secara baik menyebabkan sebutan mereka menggamit perasaan penduduk yang hadir.

Kumpulan Dabus yang dipimpin oleh Hj Zakaria (Orang Lama)

Anak angkat dan keluarga angkat juga tidak ketinggalan dalam persembahan mereka. Selain itu, Kelab Ma’ruf juga sempat mewakilkan beberapa peserta untuk mendendangkan dua buah lagu nasyid. Acara kemuncaknya ialah persembahan gabungan antara mahasiswa dan belia kampong itu iaitu dikir barat. Dikir barat ini diselitkan dengan unsur humor dan nasihat medapat sambutan yang begitu hangat kerana kebetulan ‘tukang karut’ itu adalah anak jati Kelantan dan beliau menggunakan loghat asli Kelantan. Program itu berakhir dengan penyampaian hadiah kepada para peserta persembahan. Matlamat yang ingin dicapai melalui majlis kebudayaan yang dianjurkan ini ialah untuk menunjukkan bahawa Islam tidak pernah melarang apatah lagi menegah budaya berhibur namun ia perlu menuruti batasan yang ditetapkan. Penulis bersyukur kerana sepanjang persembahan itu, tiada langsung budaya barat yang diterapkan bahkan ia digemburkan dengan budaya ketimuran yang lebih sopan dan santun dalam pendekatan berhibur.

Masa berlalu begitu pantas. Itulah perasaan yang kini terpendam jauh di lubuk kalbu penulis. Namun perjuangan perlu diteruskan. Agenda terakhir kami sebelum kami pulang ke lembah gombak ialah dengan mendekatkan golongan tua, belia, kanak- kanak dan mahasiswa melalui aktiviti sukaneka. Sebelum acara sukaneka dimulakan, kami dahulukan dengan senamrobik yang berlansung selama hampir sejam. Setelah itu barulah permainan dimulakan dengan acara berasingan dari kanak – kanak sehinggalah ke warga kampong. Antara permainan yang sempat dilaksanakan ialah bola bayang, mencari gula – gula dalam tepung, lari dalam guni dan sebagainya. Pertandingan yang paling menarik ialah acara tarik tali. Kami telah membahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Kelab Ma’ruf, persatuan belia kampong dan JKKK kampong. Pemenang kepada acara itu ialah JKKK kerana mereka pada permulaannya telah menang sesi pertama kerana tiada pertandingan. Acara sukaneka itu berlangsung dengan penuh muhibbah dan kasih sayang. Tiada sebarang kekasaran berlaku malah semua pihak berpuas hati.

Setiap pertemuan pastinya berlaku perpisahan. Namun perpisahan ini diharapkan satu titik permulaan dalam mengorak langkah detik kasih sayang yang terpatri sepanjang berada di bumi Kampung Tanjung Siam Baru. Majlis penyerahan semula anak angkat kepada UIA disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kementerian Belia dan Sukan Negeri Selangor. Degupan jantung menjadi lebih kencang tatkala lagu perpisahan mula dimainkan. Ketika itu semua anak angkat mula mencium tangan ayah dan ibu mereka sambil deruan air mata yang jatuh ikhlas kerana pertemuan selama ini hanyalah kerana-Nya. Masing – masing begitu sedih kerana kampong yang bakal ditinggalkan ini melarik seribu satu kenangan. Penulis begitu terasa dan tersentuh hati apabila melihat seorang bayi yang berusia setahun lebih tidak mahu melepaskan tangannya dari dakapan abang angkatnya. Sedangkan abang itu bukanlah abang sebenarnya namun disebabkan semaian kasih itu diiringi dengan kasih sayang yang benar dan tulus kerana Allah, maka budak sekecil itu mudah untuk mengerti apa definisi sebenar ukhhwah fillah. Tangisan mula terpancul keluar dari mulut anak kecil itu tatkala abang angkat terpaksa ‘meleraikannya’. Hanya doa dan harapan mampu diberikan agar anak kecil itu besar dan mampu berdiri sepertimana abang angkatnya itu. Perjalanan kami yang terakhir ialah lawatan ke Bukit Malawati sebagai tirai penutup kepada program ini bagi menghargai jasa semua peserta yang sedia menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan misi khidmat masyarakat.

Tema program ini iaitu Dari UIA ke Hati Masyarakat boleh dikatakan mencapai matlamatnya kerana kerjasama yang jitu melalui JKKK Kampung, persatuan belia kampung, pejabat belia daerah dan mahasiswa keseluruhannya. Banyak kelebihan dan faedah mampu dicapai sekiranya matlamat yang digariskan itu tidak tersasar kearah ‘politiking’ dan sebagainya. Kelab Ma’ruf juga bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh UIA dan kementerian terbabit. Kami yakin dengan usaha ini (pilot project) ia bakal membawa wadah dalam dakwah kotemporari dengan berada lebih dekat dalam kehidupan bermasyarakat. .

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum
saudara, apakah perkara yang paling penting untuk buat prog baktisiswa?
kami dari cfsiium, tgh organize prog baktisiswa.Insya'allah cuti sem ni. dan mungkin, ada peringatan untuk kami2 yang belum dewasa ini.
syukran