"Selamat Menghidupkan 10 Ramadhan Terakhir 2017"

Cari Tips MOTIVASI Blog Lain Di Sini!

Custom Search

Thursday, June 7, 2007

BELIA ISLAM PERLU CONTOHI SIFAT RASULULLAH

Belia pada hari ini masih lagi ketinggalan di belakang terutamanya dari segi pemikiran. Mereka terlalu mudah mengikut perasaan dan nafsu. Maka tidak hairanlah pelbagai berita yang terpampang di dada akhbar seringkali berkaitan dengan masalah belia. Yang terbaru, ialah perbicaraan kes penderaan pelatih tentera udara yang dilakukan oleh pelajar ‘senior’ di Kolej Tentera Udara Kepala Batas, Kedah. Perkara ini amat memalukan kerana pelatih ini yang berada di usia belia dan boleh dianggap sebagai golongan professional pada suatu hari nanti mencemar diri mereka dengan terjerumus dalam budaya gansterism atau buli. Oleh itu, belia melayu yang beragama Islam perlu kembali atau melakukan ‘come back’ kepada Islam dengan menjadikan Rasullulah sebagai ‘role model’.

Kehebatan pemimpin agung ini memang tidak dapat disanggah oleh seluruh pelusuk bumi. Malah rasullulah pernah dinukilkan oleh seorang cendikiawan barat sebagai orang yang paling popular di muka bumi. Baginda kaya dengan pelbagai sifat mahmudah iaitu sifat kepujian yang boleh dijadikan contoh teladan. Maka tidak hairanlah di dalam Al Quran, Allah berfirman di dalam surah Al Ahzab yang bermaksud, ”Sesungguhnya bagimu Rasulullah itu sebagai contoh ikutan.” Antara kehebatan rasulullah yang perlu diteladani oleh belia Islam ialah sifat belay yang utama iaitu Siddiq (Berkata benar), Amanah (Bertanggungjawab), Fatanah (Kebijaksanaan) dan Tabligh (Menyampaikan). Sesungguhnya nabi junjungan besar kita sememangnya kaya dengan pelbagai dan ribuan sifat mahmudah namun saya hanya ingin menarik sifat dominan baginda yang boleh menjadi ikhtibar kepada kita sebagai golongan belia yang menjadi aset negara.

Sifat pertama rasulullah ialah berkata benar. Ketika di usia muda baginda, majoriti penduduk Mekah menghormati baginda kerana baginda kaya dengan sifatnya yang berkata benar. Baginda tidak pernah berdusta dan berbohong kepada sesiapa walaupun mereka itu adalah lawan. Marilah kita melihat kembali kepada sirah bagaimana rasulullah telah berjaya mengotakan katanya apabila menadah tangan berdoa supaya Allah memberi kemenangan Islam kepada salah seorang dari Umar. Ketika itu, nama yang digeruni ialah Umar bin Hisyam ( Abu Jahal) dan Umar bin Khattab. Natijahnya Umar Al Khattab telah memeluk Islam dan sepanjang pemerintahannya Islam telah tersebar luas di benua Asia. Benarlah segala yang dibawa oleh rasul kepada para sahabatnya. Oleh itu, belia kita pada hari ini perlu berani berkata benar. Pepatah arab ada menyebut, ‘katakanlah yang benar walaupun ia adalah pahit.’ Maka pelbagai perancangan dari sudut diskusi ilmiah, forum, seminar dan bengkel perlu diwujudkan oleh belia dalam menyatakan kebenaran yang semakin ditenggalami dengan kejahilan dan kejumudan. Belia perlu memahami isu terkini dan berfikir secara kritis sebelum mengutarakannya seperti isu Azlina Jailani atau Lina Joy. Mereka perlu menghayatinya dan bukan bertindak sekadar membabi buta mengikut nafsu.

Manakala sifat kedua rasulullah ialah Amanah. Baginda bukanlah seorang yang kianat apabila diberikan amanah. Menurut riwayat Ibnu Atsir, rasulullah telah diamanahkan oleh Siti Khadijah untuk berdagang di Syam bersama Maisarah apabila perkhabaran tentang amanah dan kejujuran baginda diketahui oleh Khadijah. Oleh itu, rasulullah terlah berniaga dan mengaut keuntungan yang besar hasil keberkatan dan amanahnya baginda. Sungguhpun begitu, belia Islam masih lagi ketinggalan perkara berkaitan amanah dan tanggungjawab. Walaupun kerajaan telah membariskan tema sambutan hari belia setiap tahun, namun paradigma belia masih di takuk yang lama. Kita mengharapkan tema sambutan hari belia tahun ini iaitu ‘Belia Peneraju Kemerdekaan Gemilang’ dihidang dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah dari segi technical skill (kemahiran ilmiah) dan soft skill (kemahiran bersosial). Kemahiran ini perlu bertunjang kepada prinsip dan format – format yang telah ditetapkan oleh Islam. Tambahan lagi, sifat bertanggungjawab ini perlu dipupuk berlandaskan kepada saranan Hasan Al Banna iaitu tanggungjawab pada diri sendiri (fard muslim), keluarga (baitul muslim), masyarakat (mujtama’ muslim), Negara (daulah islamiyah) dan pemerintahan (khilafah Islamiyyah) sekiranya berjaya ditegakkan.

Bijaksana pula merupakan sifat dominan yang ketiga bagi nabi Muhammad. Maka ulama telah bersependapat bahawa mustahil baginya sifat bodoh dan jahil. Kehebatan dan kebijaksanaan rasulullah terserlah melalui kisah perletakan batu Hajarul Aswad melalui riwayat Imam Ahmad bin Hanbal. Pertelingkahan telah berlaku antara Bani Abdid Dar, Bani A’diy dan Quraish serta beberapa kabilah lagi. Seorang di kalangan mereka telah mencadangkan agar diberikan hak keputusan kepada orang pertama yang masuk pintu ka’bah yang dikenali Ash Shafa. Akhirnya orang pertama itu ialah Muhammad dan mereka bersetuju agar Muhammad menjadi perantara kerana ketika itu baginda dikenali dengan gelaran Al Amin (yang dipercayai-beramanah). Maka nabi pun meminta sehelai kain dan diletakkan Hajar Aswad di tengah kain itu. Baginda memanggil setiap daripada kabilah supaya memegang setiap bucu kain sehingga masuk ke dalam Ka’bah. Apabila tiba di dalam, nabi sendiri merupakan orang yang meletak batu itu pada tempatnya. Aplikasi yang boleh dibuat dalam belia Islam di Malaysia ialah mereka perlu bijak dari segi akademik. Hal ini kerana masyarakat kita kini memandang kepada segulung ijazah dan kesarjanaan. Oleh yang demikian, belia kita perlu dipupuk untuk menyayangi ilmu dan dihapuskan dari penyakit kelayuan ilmu seperti virus pesta, virus badut (sophisticated relaxation) dan sebagainya. Selain itu, konsep bijaksana juga perlu diterapkam melalui bijaksana dari sudut kepimpinan. Rata – rata belia Islam tidak mempunyai kemahiran yang menyeluruh dari sudut kepimpinan. Kepimpinan belia pada hari ini tidak kritis dan kritikal dalam memberi pandangan. Ini menandakan bahawa mereka masih lagi tidak bijak dalam memimpin kerana mereka terlalu ‘murah’ dari sudut bahan bacaan am dan kajian. Lihatlah kehebatan Tun Mahathir, bagaimana beliau ketika di usia mudanya di bangku universiti sering menulis dalam akhbar –akhbar membicarakan isu bangsa melayu dengan mengguna nama penanya iaitu Che Det.

Belia perlu memahami isu terkini dan berfikir secara kritis sebelum mengutarakannya seperti isu Azlina Jailani atau Lina Joy. Mereka perlu menghayatinya dan bukan bertindak sekadar membabi buta mengikut nafsu.

Di samping itu, sifat menyampaikan merupakan sifat fitrah bagi seorang nabi. Baginda menyampaikan berita mengenai kegembiraan (tabsyir) dan berita kesedihan atau peringatan (tanfir). Rasul sentiasa menghantar utusan supaya menyampaikan Islam ke seluruh jazirah (tanah arab). Mengikut riwayat Ibnu Sa’ad dan Ibnu Hisyam, nabi telah menghantar Khalid Al Walid ke Najran, Ali ke Yaman dan juga untuk misi yang sama nabi mengutus Abu Musa al Asya’ari dan Muaz ke Yaman. Di dalam menghayati sifat nabi (menyampaikan), belia perlu menjadi agen integrasi dan perpaduan. Mereka perlu menjadi jurubicara ummah. Inilah ungkapan yang sering disebut dalam hampir setiap makalah dan warkah yang berkaitan mahasiswa dan belia. Namun ungkapan ini sekadar retorik dan tidak bermakna kerana tiada sebarang usaha dalam menyahutnya. Ungkapan ini dapat direalisasikan sekiranya beberapa perkara berkaitan kebebasan berucap di dalam Akta Universiti Kolej Universiti dipinda atau dimansuhkan. Ini sejajar dengan saranan yang telah dibentangkan oleh Prof. Dr Ismail Salleh (Naib Canselor Kolej Universiti Twintech) di dalam Seminar Hak Asasi Manusia pada tahun 2004 bahawa akta tersebut perlu dipinda sebahagiannya kerena mencengkam dasar intelektualisme belia yang bergelar mahasiswa. Selain itu, belia juga perlu bijak dalam mendepani isu antarabangsa. Isu – isu anti peperangan seperti di Afghanistan, Iraq dan Lubnan perlu diperluaskan informasinya oleh golongan belia Islam. Kita mahu belia kita berdiri seiringan dengan nama belia antarabangsa seperti Daniel Cohn-Bendit dan Abby Hoffman yang menjadi barisan hadapan (frontline) dalam gerakan anti perang.

Belia Islam perlu sedar peranan dan tanggungjawab mereka dalam memberi contoh (Qudwah Hasanah) kepada belia lain. Kita tidak mahu belia Islam lebih terpesong dan tergugat kehidupannya dari belia lain di tanah air sendiri. Semoga usaha dan berkat doa dapat memberi satu anjakan kepada belia Islam hari ini.

No comments: