[Memori bersama krew dan panelis forum]Sebelum terlupa entry ini, saya mengucapkan tahniah kepada Quranic Youth Club (QYC) kerana telah berjaya menganjurkan forum yang bertajuk Real Life After Graduation di Eksperimental Hall, UIAM pada 2 Oktober 2009 lalu. Saya juga ingin melarik seribu penghargaan yang tidak terhingga kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk berkongsi pandangan dan pengalaman sebagai salah seorang panelis program.
Antara penalis lain ialah Ybhg Ustaz Pahrol Juoi dari Telaga Biru dan Puan Roselaini Abdul Rahman dari UTM. Keberadaan saya di atas pentas membuatkan diri saya begitu kerdil kerana berada seiring dan sejalan bersama panelis tersohor. Siapa tidak kenal Ustaz Pahrol Juoi, seorang editor Majalah Solusi terbitan Telaga Biru, penulis novel dan buku2 motivasi. Begitu juga Puan Roselaini, aktivis JIM yang berkarisma. Beliau sudah berkhidmat sebagai aktivis masyarakat lebih 20 tahun.
Saya berpandangan QYC cuba membawa para pelajar dan audiens kepada beberapa perspektif tentang kehidupan selepas bergraduasi:
Pertama, peranan graduan yang perlu dimainkan sebagai pendakwah yang lebih menjurus Lisanul Maqal iaitu penulisan dan pembinaan modal insan. Perkara ini disentuh dengan jayanya oleh Ustaz Pahrol.
Kedua, peranan mereka untuk berjuang sebagai aktivis masyarakat yang lebih menjurus Lisanul Hal iaitu bantuan dan perkhidmatan kemanusiaan.
Ketiga, peranan mereka yang baru bergelar 'fresh graduate' antara memilih jalan dan asas2 hidup oleh saya.
Fresh Graduate: Apa yang selalu dibuat??Saya bawakan 3 huraian pertama dalam forum tersebut.
1.Sambung BelajarAda orang memilih untuk sambung belajar setelah tamat pengajian. Langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah memilih IPT yang sesuai. Ada orang pilih IPT lamanya kerana mudah utk mendapatkan sebarang kemudahan. Ada juga yang memilih IPT lain kerana ingin mencari pengalaman belajar di tempat berbeza, pensyarah yang lain dan membina pengaruh rakan baru.
Seterusnya anda juga perlu menentukan siapakah yang akan 'sponsor' sewaktu pengajian anda. PTPTN, JPA, MARA, Biasiswa Negari? Tepuk dada, tanya selera. Kemudian anda perlu tentukan tempoh pengajian. Adakah untuk belajar sepenuh masa atau separuh masa? Soalan lain pula ialah apakah metod pengajian yang sesuai untuk anda. Penulisan tesis atau 'coursework'. Pilihan di tangan anda.
2.Memilih utk bekerjaRamai juga yang memilih untuk mencari pengalaman bekerja terlebih dahulu. Alasannya mudah iaitu untuk mengumpul dana samada untuk sambung belajar atau berkahwin. Saya suka untuk menyebut bahawa setelah bergraduasi, jangan biarkan diri anda menganggur walau sehari. Pastikan anda sudah mempunyai sebarang pekerjaan walaupun pekerjaan itu bersifat separuh masa.
Jangan malu untuk bekerja. Kerjalah walaupun gajinya sedikit kerana sementara kita menanti profession dan karier yang sesuai, kita tidak membuang masa dengan hanya menunggu dan makan minum serta tempat tidur kita ditanggung beres oleh kedua ibubapa kita. Tak malukah kita seorang yang berpengajian tinggi tapi masih lagi membebani kedua orang tua kita? Jawapannya terletak pada anda.
[Bersama tokoh pendakwah M'sia:Ustaz Pahrol Juoi] 3.Hajat BerkahwinKalau anda sudah memasang niat untuk 'mendirikan masjid', saya sarankan untuk diteruskan. Kadangkala pernikahan kita ini akan memandu kehidupan untuk lebih diberkati Allah. Banyak rezeki yang diperolehi hasil pernikahan. Namun, berkahwin tidak mudah seperti yang diungkap. Anda perlu berfikir panjang dalam membuat keputusan ini.
Persoalan yang bakal timbul ialah bersediakah anda untuk bergelar suami dan menggalas tanggungjawabnya? Antara lain, sudahkah anda bersedia untuk menyediakan hak asasi bakal isteri anda seperti makan, pakaian dan tempat tinggal? Bagaimana pula dengan persiapan mental dan fizikal anda untuk menempuh keluarga mentua?
Perlu diberi perhatian, kalau anda masih lagi bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, lupakan seketika hasrat ini. Bina dulu impian baru dengan bekerja dan mengumpul duit secukupnya. Jangan kecewakan hasrat bakal isteri anda, hidup pun sekadar perlu, makan pun tidak tentu apatah lagi untuk lebih bahagia dan gembira.
Kehidupan berkeluarga tambahan lagi di ibu kota seperti di Kuala Lumpur memerlukan kesungguhan padu dari individu yang komited dan berani. Tidak perlu untuk saya ingatkan bahawa kos dan taraf hidup di KL begitu tinggi. Huraian saya mudah. Contoh yang boleh diambil, kehidupan di Gombak, antara bajet asas yang perlu diberi perhatian:
Sewa Rumah : RM 500.00
Pinjaman Kereta : RM 350.00
Bil Utiliti : RM 100.00
Kos Makanan Harian: RM 20 x 30 hari ( Harga Minimum 2 org makan) : RM 600
Total Kos : RM 1550.00 (Anggaran Kasar)Itu tidak termasuk untuk kos membeli belah di pasaraya, wang simpanan peribadi, wang simpanan untuk dua keluarga (keluarga suami dan isteri), keperluan asasi rumah, minyak dan servis kenderaan serta sebagainya. Kos bulanan mampu mencecah sehingga RM 3000.00 kalau dilihat secara teliti dan kemas. Tanggungjawab anda akan turut bertambah kalau bakal isteri anda tidak bekerja. Fikir-fikirkan.
Inilah antara isu yang telah saya bangkitkan dalam forum yang lalu. Semoga dapat memberi manfaat bersama.